Setiap individu dikurniakan perasaan marah. Cuma ia terpulang kepada cara seseorang individu itu mengawal rasa marahnya. Tahniah jika anda berjaya mengawal rasa marah anda dengan baik. Namun, jika anda masih tidak berjaya mengawalnya, kami ada caranya.
Menurut ahli tawasuf, marah yang terpuji hanya ada dalam dua perkara iaitu marah kerana mempertahankan kehormatan dan marah kerana mempertahankan agama. Menurut Hamka, marah yang dilarang adalah marah yang terbit daripada takbur dan sombong, bongkak dan kebanggan, hasad, dengki dan lain-lain lagi.
Hijabista kongsikan 7 langkah penting untuk anda mengawal rasa marah:
Apabila anda berasa ingin marah, tahan kemarahan dengan mendiamkan diri. Kebanyakan perkara dan keputusan yang tidak baik akan berlaku semasa anda sedang marah. Daripada Abdullah bin Umar r.a., Nabi Muhammad saw bersabda:
“Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran yang lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah.” – Riwayat Ibn Majah
Cara yang paling selamat adalah menangguhkan reaksi anda. Walaupun anda menangguhkan reaksi dalam beberapa minit, percayalah ia akan memberi impak yang berbeza berbanding anda terus memberikan reaksi. Istighfar, tenangkan diri dan lembutkan hati.
Apabila anda sedang marah, syaitan akan mula menghasut kerana syaitan masuk melalui tiga pintu iaitu kelalaian, syahwat dan marah. Jika anda menurutkan perasaan amarah, syaitan itu pasti sedang bergembira. Kemarahan menjadi ruang terbaik syaitan untuk menjadikan anda seorang manusia yang gagal.
Ingat kebaikan yang diperolehi jika anda bersabar. Daripada Abu Said al-Khudri r.a., Nabi Muhammad saw bersabda:
“Seseorang itu tidak dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada bersabar.” – Riwayat al-Bukhari
Bersabar daripada api kemarahan sememangnya membawa banyak kebaikan. Ia akan memberi anda peluang melakukan keputusan melalui emosi yang stabil dan tidak terburu-buru.
Kekasaran tidak mencerminkan kekuatan diri anda. Ramai individu yang kasar dan panas baran ditakuti orang tapi tidak dihormati. Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad saw bersabda:
“Bukanlah orang gagah itu orang yang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Keputusan yang dibuat ketika sedang marah pasti akan berakhir dengan penyesalan. Jika anda mahu bertindak, pastikan anda berada dalam keadaan yang tenang. Apabila perasaan marah sudah reda dan hati sudah tenang, barulah buat keputusan.
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad saw bersabda:
“Mencarut adalah sejenis sikap kasar. Manakala sikap kasar balasannya ialah neraka.” – Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Tiada siapa yang suka disakiti terutamanya apabila dimarah menggunakan kata-kata yang kasar. Rasulullah sendiri merupakan seorang yang lembut wakaupun dalam keadaan marah.
Semoga kita semua dipermudahkan dalam mengawal api kemarahan dalam diri.
Sumber: tazkirah.net