Ibu bapa adalah antara figura yang paling risau sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada anak-anak mereka. Malah, bukti cinta dan kasihnya kedua orang tua, ada diantara ibu bapa sanggup mahu menggantikan kesakitan yang dihidapi sang anak sekiranya diizinkan Allah.
Begitu juga dengan pengorbanan yang dilakukan oleh seorang ayah ini, Adi Saifullizam Abdul Sani yang sanggup ‘berkhemah’ di dalam kenderaan hanya kerana mahu sentiasa ‘dekat’ dengan si anak yang kini terlantar di hospital kerana diuji menghidapi tumor otak.
Baru-baru ini sebuah portal infortainment, memaklunkan tentang kisah pengorbanan Adi, 40 tahun yang sanggup bermalam dan tidur di dalam kereta di tempat parkir Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, Perak, bagi memudahkan urusan isterinya yang memantau keadaan anak bongsunya mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu.
Tular di media sosial beberapa keping foto menunjukkan kereta Proton Satria yang dipasang khemah pada bahagian belakang kenderaan itu yang setia menanti di tempat parkir Hospital.
“Anak bongsu saya, Muhammad Afeef Mikhail, 8, sedang mendapat rawatan di hospital, setelah doktor mengesahkan dia menghidap tumor otak.
Bagaimanapun, Adi berkata setelah anaknya itu menjalani pembedahan untuk tujuan pengambilan sampel sel pada Sabtu lalu, keadannya semakin stabil. Tetapi masih perlu dirawat dan dipantau di HRPB ditemani isterinya.
“Alhamdulillah, setakat petang tadi anak saya dalam keadaan stabil. Kami sedang menunggu sama ada anak akan menjalanikemoterapi, radioterapi atau pembedahan susulan,” katanya.
Mengulas lanjut berhubung tindakkanya itu, ini respon yang diberikan oleh Adi.
“Saya ambil keputusan untuk bermalam dalam kereta di ruang parkir hospital kerana mahu sentiasa dekat dengan anak dan isteri serta standby pada bila-bila masa.
“Nak tinggal di homestay, pun perlu banyak kos. Masa hari pertama saya datang ke hospital cuma ada RM250 di tangan.
“Jadi, saya perlu berjimat. Lebih mengutamakan makan dan minum. Apa yang lebih penting, saya sentiasa dekat dengan anak,” ujar bapa kepada tiga anak itu.
Ini demikian kerana, menurut Adi, buat masa ini dia masih belum dimaklumkan oleh Doktor apakah langkah susulan yang bakal diambil terhadap kondisi kesihatan anaknya. Justeru, jumlah kos sebenar rawatan juga masih belum dapat diputuskan lagi.
Sekadar info, adi yang membanting tulang empat kerat sebagai operator kilang dan isterinya yang tidak bekerja mengakui perlu berjimat dengan mencatu kewangan sedia ada.
Artikel berkaitan: Ibu Bapa Adalah Segalanya! Lepas Benam Sepanyol 3-0, Achraf Hakimi Berlari ‘Cium’ Ibu Raikan Kemenangan
Jelasnya lagi, buat masa ini dia mengambil cuti tanpa gaji khusus untuk memantau perkembangan kesihatan anaknya, serta memudahkan urusan isterinya kerana jarak rumahnya yang berada di Trolak agak jauh jika ingin berulang ke hospital.
Sehubungan itu, Adi menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga di atas keprihatinan rakyat Malaysia yang banyak membantu dia dan keluarga untuk keluar dari kemelut kewangan itu.
“Syukur Alhamdulillah juga hari ini ada seorang hamba Allah yang sudi membantu saya membiayai tempat menginap di bilik di sebuah rumah inap berdekatan dengan hospital.
“Sangat dekat, saya berjalan kaki antara 300 dan 500 meter ke hospital bertemu anak dan isteri,” katanya sambil menambah dua lagi anaknya dijaga oleh keluarga terdekat buat sementara waktu.
Hijabista mendoakan agar adik Muhammad Afeef Mikhail diberikan kesembuhan segera, serta tiada kesakitan selepasnya dan semoga segala urusan ayahnya, Adi Saifullizam Abdul Sani sekeluarga dipermudahkan oleh Allah SWT.
Sumber: Mstar
Artikel berkaitan: Viral CSR Dandan Rambut Warga Emas, Erna Beri Amaran Jangan Abai Ibu Bapa. Doa Mereka Tiada Hijab!
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.