Mahu berhijrah ke arah yang lebih baik, pelakon dan penyanyi Kilafairy atau nama sebenarnya, Syakila Nisa Jahangir Khan memilih untuk berhijab sejak kelmarin.
Usahanya ini telah dilakukan sejak awal tahun lagi apabila dia perlahan-lahan membuang imej seksinya dan berpakaian sopan.
Jelasnya kepada Berita Harian, tindakannya ini adalah keputusannya sendiri dan bukanlah paksaan daripada sesiapa.
“Perubahan ini seiring dengan peningkatan usia dan kematangan diri. Saya percaya dalam hidup kita tidak boleh terus berada di takuk lama, perlu ada penghijrahan.
“Saya berhasrat mahu menjadi insan lebih baik daripada sebelumnya. Sudah enam bulan saya menjaga penampilan diri, nyata saya selesa,” kata anak kepada penyanyi, Rohana Jalil ini.
Sementara itu, menerusi ruangan Instastory Neelofa, selebriti tersebut telah meluahkan rasa syukurnya apabila sahabat baiknya itu telah berhijab dan berharap tindakannya itu akan kekal sampai bila-bila.
“Semoga kau istiqomah, Allah tak bolak-balikkan hati kau. Kuatkan iman, tingkatkan iman. Semoga kau dapat ilmu yang bermanfaat dan boleh lagi menjadi wanita solehah yang boleh dicontohi dan menjadi teladan ramai orangkan. Yang bahagia, yang tenang dan disayangi ramai, insyaAllah. Love you. Kilafairy dah berhijab!”
Neelofa juga telah menghadiahkan Al-Quran terjemahan dan selendang buat temannya itu.
Beruntung sekali Kila kerana dikurniakan sahabat baik seperti Neelofa. Moga ukhwah mereka terus berkekalan dan semoga Kila terus istiqomah dalam penghijrahannya. InsyaAllah.