Berubah ke arah kebaikan sememangnya satu tindakan yang sangat terpuji. Tidak kiralah siapa kita di masa lalu, yang pentingnya ialah siapa kita di masa akan datang.
Tekad menjadi insan yang lebih baik, Rozita Che Wan atau mesra dipanggil Che Ta kini mahu membaiki penampilannya sebagai seorang muslimah dan kini beliau lebih gemar mengenakan jubah atau baju kurung longgar.
Akui Che Ta, sejak awal tahun ini dia dalam usaha bagi mengubah penampilannya kea rah patuh syariah dan mahu menutup aurat dengan sempurna. Beliau juga akui mula rasa malu apabila memakai pakaian yang menampakkan bentuk badannya.
“Semenjak awal tahun ini sebenarnya saya sudah mula mengubah kepada fesyen yang lebih patuh syariah dalam usaha menutup aurat dengan sempurna dengan mengenakan pakaian yang longgar.
“Saya tidak mahu sekadar ‘balut’ aurat tapi sebenarnya tidak sempurna malah dosanya sama sahaja dengan tidak menutup aurat.
“Alhamdulillah perlahan-lahan saya cuba ubah ke arah lebih baik dan paling penting istiqamah dalam melakukan sesuatu,” jelasnya kepada mStar Online.
Walaupun pada awalnya beliau merasakan sukar untuk ikhlas, namun kerana sedar bahawa menutup aurat dengan sempurna itu adalah satu kewajipan, lama-kelamaan perasaan ikhlas itu datang dengan sendirinya. Beliau juga akan menjual pakaian lama yang dirasakan sudah tidak sesuai lagi untuk dipakai.
Jelas Che Ta, perasaan untuk berubah itu bukan datang secara tiba-tiba tetapi merupakan hasil daripada mempelajari tentang agama selain didorong oleh adik-beradik lain yang menutup aurat dengan sempurna.
“Paling penting kita sedia untuk belajar dan betulkan kesilapan diri. Alhamdulillah, adik-beradik lain selalu juga tegur kalau kita ada buat silap dan betulkan,” kata isteri kepada Zain Saidin ini.
sumber: mStar Online