Jika disebut sahaja nama Didiyana Ehsan, umum pasti mengetahuinya sebagai perantis dalam dunia hijab styling.
Berasal dari Ipoh,Perak, tahun 2020 ini menjadi sesuatu yang sangat istimewa buat dirinya kerana ia merupakan ulangtahun ke sepuluh buat dirinya sebagai seorang penata hijab.
Mendapat pendidikan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang fesyen, Didiyana atau lebih mesra disapa Didi,31, mula mengorak langkah dalam bidang penataan hijab ini selepas melihat ramai pelajar senior di pengajiannya yang sudah melangkah ke dalam industri terpaksa bersaing sesama sendiri.
“Apabila melihat situasi tersebut yang berlaku disebabkan persaingannya yang sengit, saya memikirkan bahawa saya perlu hadir dengan sesuatu yang baru, yang belum dilakukan lagi oleh mana-man pihak dan menjadi pioneer supaya tidak perlu bersaing dengan sesiapa. Dari situlah lahirnya kerjaya saya sebagai seorang penata hijab,” ujarnya yang sudah enam tahun mendirikan rumah tangga.
Jelas Didi, namanya mungkin naik dan dikenali ramai disebabkan beliau sering bekerjasama dengan ramai selebriti seperti Neelofa, Vivy Yusof dan Lisa Surihani.
“Selepas tamat pengajian, saya pernah bekerja dengan sebuah jenama tudung selama enam bulan. Namun disebabkan sudah terbiasa bekerja sendiri iaitu secara freelance, saya merasakan yang saya tidak boleh duduk bekerja di dalam pejabat.
“Saya terus menyambung kerjaya secara freelance. Pada saat itu, saya selalu bertemu dengan pelbagai selebriti bagi menggayakan hijab mereka untuk sesi penggambaran majalah. Dari situlah nama saya mula dikenali,’’ jelas ibu kepada seorang cahaya mata lelaki ini.
Bercerita mengenai liku-liku dalam kerjayanya, beliau akui pada awalnya terdapat mereka yang memandang rendah terhadap kerjaya yang dilakukannya.
“Dahulu ada segelintir yang memandang rendah terhadap kerjaya ini. Mereka tidak faham konsepnya dan mula mempersoalkan. Namun lama-kelamaan orang sudah boleh menerima kerjaya ini dan penerimaan itu menjadikan segalanya lebih mudah.
“Ada orang yang menganggap kerjaya ini sesuatu yang mudah tetapi sebenarnya bukanlah seperti itu. Sama seperti jika kita mendandan rambut, paling tidak pun kita boleh mengikat ‘bun’.
“Berbeza pula dengan hijab, jika ia tidak terletak cantik wajah, kita perlu menggosoknya lagi dan memikirkan samada stail hijab tersebut sesuai atau tidak dengan bentuk muka.
“Jika dahulu pelanggan saya kebanyakannya terdiri daripada pengantin tetapi kini ia berkembang apabila mereka menggunakan khidmat saya untuk ke acara majlis, penggambaran dan sebagainya. Semuanya boleh dilakukan,” bicara Didi yang menggemari warna hitam ini.
Sentiasa mempunyai matlamat dalam hidup, beliau sentiasa melakukan ‘homework’ dalam gaya hijab yang dilakukannya.
“Setiap kali saya menata hijab, saya ada target mahukan seseorang individu itu masuk ke dalam senarai portfolio saya. Sama seperti hijab, bila sudah bosan saya akan tukar. Saya sering melakukan ‘homework’ agar penampilan setiap klien itu berbeza.
“Proses ini perlu banyak try and error. Satu fakta mengenai diri saya adalah saya seorang yang sangat fokus. Bila bekerja saya akan berikan 100%.
“Kerana itulah saya hanya akan fokus kepada penggayaan tudung sahaja. Anda tidak akan dengar berita seperti Didiyana Ehsan sebagai jurusolek tersohor pula,”ujarnya sambil bergurau.
“Bercerita mengenai pencapaian, saya menganggap perkongsian video tutorial hijab di laman sosial Instagram saya sebagai pencapaian terbesar apabila dapat berkongsi ilmu secara percuma tanpa sebarang caj kepada orang ramai.
“Orang selalu bertanya kepada saya, kenapa tak jual tudung? Tak payah! Jika sekarang ini pun saya sudah tidak menang tangan, apatah lagi jika sudah ada perniagaan. Macam-macam perkara pula perlu difikirkan,” katanya sambil ketawa.
Wajib mengenakan celak mata jika melangkah keluar dari rumah, Didi juga menghadkan waktu bekerjanya hingga ke lapan malam sahaja agar dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta pula.
“Dahulunya bolehlah hingga ke jam 12 malam namun kini paling lewat pun mungkin hingga ke jam sembilan sahaja. Tetapi ia bergantung juga kepada keadaannya,” jelas anak sulung daripada tiga beradik ini.