Alah bisa, tegal biasa. Itulah yang menggambarkan seorang gadis yang kelainan upaya ini yang masih tidak berputus asa serta berhempas pulas dalam mencari rezeki.
Dalam hidup ini, tiada manusia yang sempurna. Kita sentiasa diuji oleh Allah SWT. Ujian itu hadir dalam pelbagai cara dan bentuk. Bezanya adalah bagaimana kita mengendalikannya dan menerimanya menjadi sebahagian dari hidup kita.
Seperti kisah yang tular baru-baru ini di laman TikTok, dimana kegigihan seorang gadis OKU (Orang Kurang Upaya) yang mencari rezeki menjual burger telah menarik perhatian, dalam masa yang sama memberikan ‘tamparan’ buat orang ramai.
@jaheerahnadzri94 🍔☺️ #tiktok #fyp #tiktokmalaysia #viral #eerahburger #kotawarisan ♬ Kenangan Terindah – SAMSONS
Wanita yang bernama Jaheerah Nadzri, 29, ini mempunyai masalah pembelajaran slow learner atau disleksia. Pada awalnya, wanita ini mencari rezeki bekerja sendiri dengan menjual kudapan cornflakes berperisa madu dan telur masin.
ARTIKEL BERKAITAN: Bapa OKU Gigih Lindung Anak Dari Hujan, Buat Netizen Tersentuh
Namun disebabkan permintaan jualan tidak menentu dan hanya mendapat sambutan pada hari raya, dia telah mencari alternatif lain dengan membuka gerai hamburger berhampiran rumahnya dengan bantuan bapa dan abang-abangnya.
“Ketidakupayaan (masalah pembelajaran) tidaklah ketara sangat. Cuma segala urusan atau aktiviti yang saya lakukan memerlukan bantuan orang terdekat. Ia menyebabkan saya tidak yakin bekerja dengan orang maka saya memilih untuk bekerja sendiri.” katanya.
Difahamkan, Jaheerah bekerja keras kerana menyimpan hasrat untuk memiliki rumah sendiri memandangkan rumah yang diduduki bersama keluarga sekarang adalah rumah sewa selain berhasrat mewakili negeri atau negara dalam sukan petanque.
Tambahan itu, bapa Jaheerah; Nadzri Abd Majid, 66, turut mengakui berat hati untuk melepaskan anak bongsunya untuk bekerja dengan orang lain dek kerana sedar akan kekurangan anaknya yang terhad dalam mempelajari sesuatu.
“Ada juga kawan-kawan Jaheerah yang juga OKU bekerja tetap tapi saya tidak yakin dengan kemampuan anak saya yang masih memerlukan bantuan daripada orang terdekat dalam setiap pekerjaan.”
“Dia ada kemahiran berniaga, jadi saya harap kerajaan dapat bantu dari sudut peluang penempatan di Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti gerai atau peralatan yang membolehkannya menerima tempahan jualan dalam skala besar.”
“Sebelum ini, tempahan yang diterima dihadkan memandangkan ia dibuat secara manual,” katanya.
Meninjau ke ruangan hantaran tersebut, anak bongsu daripada empat beradik tersebut berjaya meraih pujian ramai serta membuatkan netizen kagum. Rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat serta menitipkan doa buatnya. Video tersebut kini telah meraih lebih 8.1 juta tontonan dan 410K kesukaan.
“OKU tiada halangan untuk berbakti demi keluarga.. semoga diberikan rezeki yg melimpah ruah untuk awk.. hidup kita hanya beribadah kpda Allah..”
“Semoga murah rezeki dan sehat selalu,kekuranganmu adalah kelebihan Dimata kami”
“Allahu, sangat bermotivasi buat diri sendiri”
“Walau pun OKU tapi tidak menghalang mencari rezeki dari orang yang sehat…AllahHu akbar…”
Artikel berkaitan: Kasih Sampai Syurga, Ibu Gigih Jual Kek Di Kaki Lima Demi Tampung Kos Rawatan Anak OKU
MasyaAllah, kekurangan diri tidak melunturkan semangat wanita ini dalam mencari rezeki. Semoga kisah ini dijadikan inspirasi juga buat ramai. Hijabista turut mendoakan agar wanita ini sentiasa dipermudahkan urusan dan dapat menunaikan hasratnya suatu hari nanti.
Sumber: Yoy.my dan Tiktok Jaheerah
+++Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.