Tak Dapat Habis Belajar Walaupun UPSR Dapat 5A, Ini Kisah Pavithra Yang Ramai Tidak Tahu

Share

Semakin mendapat tumpuan rakyat Malaysia dengan video-video masakannya yang enak di YouTube, S. Pavithra sebenarnya ada kisah peribadi menyentuh hati yang tidak diketahui umum.

Menurut ibu kepada dua orang cahaya mata ini, dia tidak dapat menghabiskan pelajaran di sekolah gara-gara berdepan masalah kewangan akibat kesempitan hidup keluarganya.

“Saya dulu sekolah rendah UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) dapat 5A. Bahasa Melayu memang subjek kegemaran saya. Cuma, apabila ke Sekolah Menengah saya hanya dapat belajar separuh jalan sahaja. Tingkatan 4 pun tak habis belajar.

“Saya dari kecil memang susah. Hari-hari pergi sekolah, naik bas tambang, tapi selalu tak dapat pergi sekolah sebab susah. Jadi, saya tak dapat belajar dengan baik,” katanya kepada Astro Gempak.

Ujar Pavithra, dia membantu bapanya yang merupakan buruh binaan untuk mencari wang dengan bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang sebaik berhenti belajar di sekolah.

“Ayah kemudian suruh saya kerja, sebab kami susah. Jadi, bantu dia cari wang. Lagipun, ketika itu saya paling tua kerana kakak sulung dijaga oleh nenek.

“Sewaktu kerja di kilang, saya banyak bergaul dengan lebih ramai kawan-kawan Melayu. Dari situlah bahasa Melayu saya menjadi lagi fasih,” kata anak kedua daripada lima beradik ini.

Cekal sungguh Pavithra melalui kehidupannya ini. Nilai positif yang ada dalam dirinya inilah yang perlu kita contohi selain sikapnya yang sentiasa bersyukur dengan kesederhanaan hidup yang dimilikinya.

Sehingga kini, dalam masa tiga bulan sahaja saluran YouTube Sugu Pavithra sudah mencecah 578,000 orang ‘subscriber’.

Salurannya itu diadakan bagi membantu meringankan beban suami, M. Sugu yang bekerja sebagai seorang buruh ladang dengan pendapatan sekitar RM1,000 sebulan sahaja.

kredit: Astro Gempak

Published by
Qiss