Jika kita lihat pada masa kini, ramai anak muda yang begitu taksub inginkan kemahsyuran dan populariti sebagai seorang artis. Namun, berlainan pula dengan aktres remaja terkenal Bollywood iaitu Zaira Wasim,18.
Setelah lima tahun bergelar anak seni, dia mengumumkan penarikan dirinya sebagai pelakon daripada industri perfileman dunia terbesar itu.
Alasan yang diberikan Zaira mengenai tindakannya itu mengejutkan ramai pihak kerana ramai tidak menyangka gadis semudanya berfikiran sebegitu.
Menurut pelakon filem Dangal itu, kerjaya sebagai seorang pelakon telah merosakkan hubungannya dengan Allah dan menjadikan kehidupannya tidak teratur.
Di samping itu, dia mengakui bukan mudah untuknya menyesuaikan diri serta memenuhi keperluan industri perfileman India.
“Ia sebuah perjalanan memenatkan, sejak sekian lama jiwa saya sentiasa berkecamuk, hidup ini singkat. Oleh itu, hari ini saya mengambil keputusan secara rasmi untuk bersara dalam arena perfileman,” ujar Zaira dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram dan Facebook pada Ahad.
Zaira merasakan populariti yang diraihnya selama ini langsung tidak memberikan kebahagiaan buat dirinya.
“Semoga Allah mengurniakan kita hidayah serta petunjuk untuk meredakan setiap keraguan dan kesilapan yang dilakukan selama ini. Diharapkan kita saling membantu antara satu sama lain untuk menjadi Muslim sejati. Semoga Allah membersihkan hati kita daripada sifat munafi dan sombong,” katanya.
Keputusan Zaira itu disambut baik oleh peminat-peminatnya khususnya masyarakat di negeri kelahirannya, Kashmir dan mereka memuji tindakan murni yang diambil oleh Zaira.
Walau bagaimanapun, keputusan Zaira itu turut dikecam oleh netizen dan juga golongan selebriti termasuk Raveena Tandon.
Raveena mengkritik Zaira yang menggunakan alasan agama menjadi punca mengapa dia bersara.
Menariknya, pengumuman persaraan Zaira turut menarik perhatian ulama terkenal dari Zimbabwe, Mufti Ismail Menk dan bekas Ketua Menteri Jammu dan Kashmir, Omar Abdullah. Mufti Menk dan Omar antara yang menyokong keputusan Zaira.
Dangal yang dibintangi Zaira di samping hero ternama Bollywood, Aamir Khan merupakan filem yang mengupas kisah seorang ahli gusti amatur India yang bercita-cita melihat anak perempuannya menjadi juara gusti.
Filem berkenaan mencatat rekod kutipan tertinggi pada 2016 selain Zaira merangkul Anugerah Pencapaian Luar Biasa bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak untuk lakonannya dalam filem itu.
Zaira juga baru selesai menamatkan pengambaran filem terbarunya The Sky Is Pink yang turut menampilkan pelakon Priyanka Chopra.
kredit: astro awani