Memulakan sesuatu perkara yang baik tidak sesukar untuk berterusan melakukan kebaikan. Ya ramai yang berjaya memulakan melakukan kebaikan namun masih ramai juga yang gagal untuk konsisten melakukan perkara-perkara kebaikan tersebut.
Lalu bagaimana untuk memastikan agar kita terus melakukan amal kebaikan yang sudah kita mulakan? Berikut perkongsian daripada Ustazah Asma’ Harun Moga bermanfaat kepada kita semua untuk menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari. In Shaa Allah.
Benar untuk berterusan melakukan kebaikan bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Ia memerlukan kekuatan hati untuk mengharungi segala cabaran yang mendatang.
Berikut dikongsikan tips untuk berterusan melakukan kebaikan yang boleh kita amalkan bersama.
Setiap amalan perlulah mempunyai niat dan matlamat yang jelas yang membolehkan kita untuk mencapai sesuatu. Niat yang jelas juga boleh memberikan kekuatan kepada seseorang dikala mereka berasa lelah.
Daripada Umar bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
إنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.”.(HR Bukhari, hadis sahih)
Melakukan amalan ringan secara berterusan dapat memberikan kita kekuatan dan keazaman untuk terus berbuat baik.
Daripada Aisyah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”
(HR Bukhari, hadis sahih)Pemilihan persekitaran yang baik seperti rakan-rakan, tempat kerja dan tempat tinggal juga turut mempengaruhi penghijrahan seseorang.
Rasulullah SAW bersabda:
مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Maksudnya: “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap.”(HR Bukhari, hadis sahih)
Sahabat, berdoalah kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan untuk terus melakukan segala amalan baik yang sedang kita lakukan.
Firman Allah SWT
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”(Surah Ghafir: 60)
Membuat kebaikan itu bukan sesuatu yang mudah untuk semua. Kadangkala kita perlu memaksa diri untuk lakukan sesuatu yang kita tidak suka.
Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنْفُسِهِمْ ۗ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.”(Surah Ar-Ra’d: 11)
Ayuh kita sama-sama lakukan tip di atas selagi ada kesempatan. Manfaatkanlah masa untuk terus melakukan kebaikan. Semoga kita dapat menjadi hamba yang bermanfaat buat semua.
Sumber kredit: Ustazah Asma’ Harun Top image: Photo by anastasia-shuraeva Pexels.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.