Penganjur acara pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW) yang berlangsung di Menara Affin @ Tun Razak Exchange (TRX), Kuala Lumpur, bakal membawa para pemenang ke Paris pada tahun depan untuk beraksi.
Menurut penganjurnya Jonathan dan Farel Mikhail dari FM Group, usaha ini adalah untuk terus memartabatkan budaya Malaysia ke luar negara sekaligus memberi peluang kepada pereka muda untuk terus berkarya menghasilkan yang terbaik.
“Kami tidak mahu kemenangan mereka hanya berakhir dalam pertandingan ini, sebaliknya kami merancang membawa rekaan mereka ke Paris. Kalau ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan. Dalam program itu, para pemenang ini akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana.
“Ini satu peluang keemasan buat mereka apabila bakal memperkenalkan budaya Malaysia ke Paris. Dalam masa yang sama, pereka fesyen muda dari Paris juga akan menyertai Precious Of Malaysia.”
Jonathan dan Farel Mikhail ditemui media di acara pertandingan fesyen Precious Of Malaysia – International Cultural Fashion Week (ICFW) di Menara Affin @ Tun Razak Exchange (TRX), pada 3 Ogos 2024.
Berentap Bersama Dengan Pereka Fesyen Antarabangsa
Apa yang lebih membanggakan apabila salah satu pemenang untuk pertandingan ini merupakan pelajar-pelajar pereka fesyen daripada UiTM. Rekaan daripada ketiga pereka fesyen yang mewakili UiTM membuatkan para penonton serta juri terpesona dan sekali gus, memenangi tempat kedua setanding dengan pereka fesyen yang sudah pun berada lama di dalam industri.
“Misalnya, kalau lihat rekaan daripada team UiTM sebenarnya mereka sudah boleh berdiri hebat sebaris pereka-pereka fesyen dalam pasaran,” ujar Farel Mikhail.
Bukan itu sahaja, menurut Farel Mikhail, pemenang diberi keistimewaan untuk memperagakan rekaan mereka di hadapan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang mencemar duli hadir ke Malam Gala Precious Of Malaysia yang berlangsung pada 4 Ogos 2024 di Menara Affin @ TRX.
“Ini juga satu penghargaan buat para pemenang apabila dapat menampilkan hasil rekaan mereka di hadapan Sultanah Nur Zahirah nanti. Koeksi yang dibawa oleh peserta Precious Of Malaysia kali ini sangat mengagumkan. Sebenarnya agak terkejut juga dengan hasil rekaan mereka. Kami sangat bangga dengan pencapaian luar biasa mereka”.
Selain ICFW, Precious Of Malaysia juga akan menganjurkan Hari Tanjak Malaysia bersempena bulan kemerdekaan Ogos ini dan Hari Malaysia pada 16 September 2024.
Artikel berkaitan: Pernah Buka HIJAB Gara-Gara Dapat Tawaran Tinggi, Anne Ngasri MENYESAL & Terus ISTIQOMAH Hingga Kini
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.