Nama Sari Yanti tidak perlu diperkenalkan lagi. Figura genit yang memiliki keanggunan yang menawan kalbu serta senyuman yang mampu mencairkan hati setiap mata yang memandang.
Rasanya masih belum terlambat untuk admin ucapkan Selamat Hari Jadi kepada Sari Yanti. Semoga sentiasa dilindungi Allah, dimurahkan rezeki dan berbahagia di samping keluarga tercinta.
Seperti yang kita semua tahu, Sari Yanti telah pun berhijab sekitar Jun yang lalu. Admin akui, Sari Yanti kelihatan sungguh ayu dan manis apabila mengenakan hijab.
Menyentuh tentang gaya ikatan tudung yang digemarinya, Sari akui dia selesa mengenakan gaya yang ringkas tetapi kemas. Menurutnya lagi, antara warna tudung yang disukai adalah warna coklat dan kelabu.
Bercerita tentang detik penghijrahannya, Sari akui dia memang sudah lama berniat untuk memakai hijab. Cuma titik permulaan sahaja yang tiada.
Tambahan pula dia sering membawa watak yang memerlukan dia untuk berhijab dan itu menguatkan lagi niatnya untuk berhijab. Sejujujurnya, Sari katakan niat berhijab itu datang sendiri tanpa paksaan.
Kini, Sari lebih selesa berhijab. Tambahan pula suaminya, Jep Sepahtu juga menggalakkan Sari untuk berhijab.
Yang kelakarnya, Jep tahu Sari mula berhijab seminggu selepas itu. Itu pun apabila dia nampak Sari lebih banyak menghabiskan masa bersama telefonnya.
“Sebenarnya, saya pada ketika itu sedang membalas mesej kak Fynn Jamal yang mengucapkan tahniah di atas penghijrahan saya. Pada waktu itulah baru Jep tahu yang saya sudah berhijab sepenuhnya.
Jep ingat dia bertudung sekadar menghormati bulan Ramadan. Padahal tak pernah saya bertudung hanya kerana bulan Ramadan. Pada saya, nak bertudung tu biarlah ikhlas dan jangan buka-buka lagi selepas itu.”
Sari akui bahawa terdapat banyak perbezaan sebelum dan selepas dia berhijab terutamanya dari segi pakaian. Banyak baju di dalam almari yang sudah tidak sesuai dengan imejnya yang berhijab itu.
“Kita tidak boleh pakai apa sahaja yang kita suka selepas berhijab nie. Kena fikirkan sama ada pakaian tersebut sesuai atau tidak dengan imej berhijab saya.
Banyak benda yang saya belajar terutamanya dalam membetulkan cara hidup, semuanya ke arah gaya hidup sebagai seorang Islam.”
“Pada saya, Jep adalah seorang yang mempunyai aura yang positif. Jarang saya lihat Jep bersikap negatif dan sekali gus buat saya juga mahu jadi seorang yang positif.
Selain itu, Jep juga seorang ketua yang bagus. Walaupun dia seorang pelawak, dia seorang lelaki yang tegas.
Kalau nak tahu, Jep juga sebenarnya seorang yang pemalu. Apa yang anda lihat pada kaca televisyen tidak sama dengan realiti. Itu membuatkan saya lagi tertarik dengan Jep.”
Ditanya mengenai anak bersama Jep, Sari Yanti amat teruja dan berharap akan memperoleh zuriat bersama Jep satu hari nanti. Sari juga berharap agar para peminat di luar sana mendoakan mereka dikurniakan cahaya mata cepat-cepat.