Suka Kongsi Resepi, Suri Rumah Ini Raih Lebih 100k Subscriber Di YouTube Dalam Masa 3 Bulan Sahaja

Share

Buat anda yang gemar menonton video memasak sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, anda pastinya mengetahui saluran YouTube Sugu Pavithra. 

Berasal dari Sungai Siput Perak, Sugu yang merupakan seorang suri rumah sering berkongsikan resepi masakan terutama sekali masakan India di YouTube seperti vadai, kari ayam dan sambal udang.

Menariknya, dia fasih bertutur dalam bahasa Melayu dan menggunakan bahasa tersebut dalam videonya.

Walaupun baru sahaja tiga bulan, dia sudah berjaya mengumpul lebih 115 ribu ‘subscriber’ di akaunnya biarpun pada awal video pertamanya iaitu cara memasak ikan bakar hanya mendapat lebih kurang 300 tontonan sahaja.

Hanya menggunakan kamera telefon bimbit untuk merakamnya, Sugu membuktikan yang dia tidak perlukan kemahiran mengedit video yang tinggi atau prop yang mahal untuk menarik minat penonton sebaliknya hanyalah isi kandungan video yang berkualiti dan ringkas.

Bermula dengan suka-suka, Sugu kini sudah boleh meraih pendapatan ribuan ringgit daripada pihak YouTube hasil video yang dimuat naiknya itu.

Pastinya cara penyampaian Sugu yang ikhlas sewaktu berkongsi ilmu dan caranya memasak yang tidak renyah membuatkan salurannya sentiasa menjadi pilihan penonton sehinggakan angka pengikutnya naik mendadak setiap hari.

 

Published by
Qistina