Suka Bantu Orang Susah, Nadir Al-Nuri Dan Ustaz Ebit Lew Bercerita Tentang Kebaikan Siti Sarah

Share

Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Kematian Siti Sarah pada jam 5.13 pagi hari Isnin, 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19 mengejutkan ramai pihak. Allahyarhamah yang mula dimasukkan ke hospital sejak Rabu lalu mula merosot kesihatannya sejak semalam seperti yang dimaklumkan suaminya kepada umum.

Hari ini ramai yang berduka dan meluahkan pandangan mereka tentang kebaikan hati budi penyanyi dan usahawan terkenal itu. Antara yang berkongsi cerita adalah Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al Nuri dan pendakwah terkenal Malaysia, Ustaz Ebit Liew

Dalam satu hantaran di laman Facebook, Nadir bercerita bagaimana Siti Sarah menghubunginya untuk bersedekah sempena perayaan Aidiladha di Gaza, Palestin baru baru ini. Selain itu ibu kepada empat cahaya mata itu juga sentiasa bertanya khabar tentang keadaan penduduk di sana.

Kongsinya, “Allah. Tersentap kejap bila baca berita daripada @shuibsepahtu tentang pemergian @sitisarahraissuddin. Saya baru dihubungi Siti Sarah sebelum raya haji lepas untuk beliau ikuti program korban di Gaza kami.

“Masa tu saya terkejut bila beliau maklumkan nak korbankan seekor lembu dengan harga belasan ribu ringgit, bukan satu bahagian saja, seolah beliau sedang mengejar memberatkan timbangan amal kebaikannya yang terakhir. Selepas itu beliau kerap berhubung dan bertanya tentang keadaan saudara-saudara kita di Palestin.

“Rupanya Allah takdirkan, nyawa beliau diambil dalam keadaan beliau memikirkan umat, peduli dengan nasib mereka malah telah didoakan ratusan penduduk di sini yang merasa daging pada tahun ini.

“Beruntunglah dikau, diberi syahid sambil didoakan ratusan keluarga syuhada’ akhirat di bumi berkat. Semoga engkau tenang di sana, al-fatihah.”

Ustaz Ebit Lew pula memuatnaik satu hantaran di Insta Storynya berkongsi bagaimana penyanyi tersebut menghubunginya bagi membantu membayar rumah sewa serta anak-anak yatim yang diselia oleh pendakwah tersebut.

“Ya Allah, sedihnya rasa. Insyaallah @shuibsepahtu @sitisarahraissuddin dan anak-anak semuanya akan bersama kembali dalam syurga Firdaus. Siti Sarah banyak kali tanya kepada saya ingin bayarkan sewa beberapa buah rumah orang miskin yang saya uruskan dan anak yatim yang saya bantu sekolahkan. Semoga Allah beri syurga Firdaus kepadanya. Saba rya @shuibsepahtu. InsyaAllah Allah sayang,” kongsinya.

Kebaikan dan pekerti murni yang dilakukan Siti Sarah ternyata menyentuh hati rami pihak. Semoga segala kebaikan yang dilakukannya menjadi contoh kepada kita yang masih diberi peluang untuk menghirup udara di bumi Allah ini.


Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang beriman dan diangkat darjatnya tinggi di sisi Allah SWT.

Sumber: Facebook Nadir Al-Nuri dan Instagram Ustaz Ebit Liew

Published by
Fiezreen