“Solat Tarawih Pengubat Rindu Saya Pada Tanah Suci Mekah”- Siti Nordiana Kongsi Pengalaman Tunaikan Umrah

Share

Penyanyi serta pelakon popular, Siti Nordiana menunaikan ibadah umrah  bersama anak lelakinya Rayyan pada Mac yang lalu. Menyingkap perasaan dan momen-momen indah saat dia berada di tanah suci, Hijabista menemu bual secara eksklusif penyanyi ini yang mesra dengan panggilan Nana.

Menurut Nana, pengalamannya sepanjang di sana merupakan sebuah momen yang tidak bisa dilupakan. Perasaanya bercampur-baur apabila dapat melihat sendiri Kaabah di depan mata, dan airmatanya seringkali jatuh rasa syukur atas peluang yang diberikan kepadanya.

“Apa yang terlintas di hati, saya terus berdoa..”

Kongsinya lagi, disana, segala masalah seperti hilang di minda dan hanya fokus mengerjakan ibadah. 

“Semestinya bila di sana, semuanya berlumba-lumba mengerjakan ibadah sehingga terlupa tentang masalah yang ada. Jujurnya, masa saya banyak di masjid. 

Saya suka luangkan masa lebih lama di masjid, bukan saja untuk solat tetapi berdoa kepada Allah SWT. Apa sahaja yang terlindah di hati dan fikiran saya, saya terus memohon doa kepada-Nya.

Antara momen yang tidak dapat dilupakan juga apabila saya dan yang lain-lain diberikan tazkirah oleh ustaz yang bertanggungjawab membawa kami menunaikan umrah iaitu Ustaz Shahrizan. Jadi waktu lapang kami biarpun di hotel diisi dengan aktiviti yang bermanfaat,” kongsi Nana.

“Airmata jatuh saat melihat makam Rasulullah..”

Tambahnya lagi, airmatanya seringkali mengalir apabila ke tempat-tempat yang penuh dengan peristiwa bermakna seperti makam Rasulullah. 

“Kalau dahulu kita hanya dengar cerita sahaja mengenai perjalanan Rasulullah menyebarkan Islam. Tetapi apabila sudah berada di sana contohnya di Madinah, hati mula rasa sayu melihat setiap lokasi yang pernah dilewati oleh Rasulullah sendiri.

Apabila melihat Kaabah di hadapan mata, hati terus jadi tenang dan sayu. Jujur, airmata saya mudah benar mengalir di sana,” ujarnya.

“Solat Tarawih pengubat rindu saya di Mekah..”

Pastinya sesiapa sahaja yang pernah menjejakkan kaki di tanah suci Mekah dapat melihat perubahan dalam diri mereka sama ada besar ataupun kecil. Seperti Nana, dia mahu memperbanyakkan ibadah yang dikerjakan dan banyak melakukan amalan sunat untuk memperbaiki dirinya menjadi muslimah yang lebih baik.

“Saya lebih memfokuskan kepada amalan-amalan saya dan menambahkan lagi ibadah saya selepas pulang dari umrah. Jika dahulu, selawat ke atas nabi saya lakukan 100 kali, sekarang, saya ingin memperbanyakkan menjadi 500 kali. Itu yang saya inginkan.

Sungguh, hati rasa begitu rindu di sana. Walaupun sudah di Malaysia, saya terbawa-bawa rutin di sana seperti solat berjemaah. Mujur, selepas pulang dari umrah, kita meraikan kedatangan bulan Ramadan. Sekurang-kurangnya rasa rindu terubat apabila dapat mengerjakan solat tarawih beramai-ramai di masjid,” tambah Nana mengakhiri sesi temu-bual.

Nana bakal hadir dengan single terbaru ciptaan dari komposer dan penyanyi popular, Dato’ M. Nasir dalam masa terdekat ini.

Sumber gambar: Instagram Siti Nordiana

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Putra