Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam telah menitahkan cadangan untuk melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara bagi kesejahteraan rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi terkini.
“Berdasarkan taakulan (pendapat) saya, dengan ilham daripada-Nya, tarikh dan waktu yang sesuai bagi cadangan pelaksanaan solat hajat serentak adalah pada hari Jumaat pada 27 Mac bersamaan 3 Sya’ban 1441H selepas Solat Zohor di rumah dan tempat masing-masing.
“Saya menyeru kepada seluruh umat Islam di Malaysia untuk menyahut titah Yang di-Pertuan Agong dengan melaksanakan solat hajat serentak di seluruh negara,” katanya.
BERIKUT PANDUAN DAN SARANAN DOA OLEH YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
Kepada semua umat Islam di Malaysia, saya mencadangkan doa-doa berikut dibacakan selepas solat.
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ،
Maksudnya: “Dengan nama Allah yang tidak dimudharatkan sesuatu pun dengan nama-Nya sama ada di bumi atau di langit. Dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ
Maksudnya: “Aku memohon perlindungan daripada kalimah-kalimah-Mu yang sempurna daripada sebarang kejahatan yang diciptakan.”
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon perlindungan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”
اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلَاقِ، وَالْأَهْوَاءِ، وَالْأَسْوَاءِ، وَالْأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah aku daripada kemungkaran akhlak, mengikut hawa nafsu, keadaan yang buruk dan penyakit yang berbahaya.”
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiah) di dunia dan akhirat. Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon pada-Mu keampunan dan ‘afiah.”
Semoga dengan doa, rintihan dan munajat kita kepada-Nya, Allah SWT berkenan untuk memakbulkan permintaan kita ini.
Sumber kredit: Web Mufti Wilayah Persekutuan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI