Senyumlah andai diri sedang duka dilanda duga. Hulurlah biarpun sedikit walau diri sedang sempit. Tiada bicara yang mampu dilafazkan tentang indahnya amalan bersedekah. Dalam Al-Quran sudah dinyatakan betapa mulianya amalan ini sehingga dijanjikan tidak akan berkurang harta seseorang itu kerana bersedekah. Maka, usahlah tunggu kaya untuk bersedekah. Malah, bersedekahlah sehingga menjadi kaya.
Dalam meraikan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Hijabista bersama-sama dengan Kenanga Investors Berhad mengadakan majlis ilmu, Tazkirah 2U: The Power Of Giving berdiskusi topik Sedekah Memperkasakan Ummah bersama Ustazah Asni Mansor.
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
Surah al-Baqarah: 261
Dalam konteks Sedekah Memperkasakan Ummah, sedekah dilihat sebagai sebuah amalan yang dapat membentuk ummah yang ikhlas memberi dan menghulurkan sedekah atau bantuan.
Mengajar untuk sentiasa memberi, ia mempraktikkan diri setiap insan untuk membantu kepada mereka yang memerlukan. Namun, biarlah ia disulami dengan seribu satu keikhlasan kerana gusar sedekah yang diberi hilang pahalanya andai ikhlas tidak dihulur bersama.
Tambah Ustazah Asni, sedekah juga tidak menjadikan seseorang yang tidak sempurna amalan wajibnya seperti solat, zakat ataupun berpuasa hilang pahala kerana sedekah yang dilakukan itu akan dihitung kerana keikhlasan yang muncul dari dalam hatinya.
“Sekurang-kurangnya mereka ini bersedekah. Jika benar amalan sedekah itu dilakukan dengan ikhlas, InsyaAllah akan diterima oleh-Nya. Jadi, kita semua harus tanam diri dengan amalan bersedekah,” ujarnya.
Sesungguhnya bulan Ramadan ialah bulan untuk kita berlumba-lumba melakukan amal ibadah dan mengubah diri untuk menjadi lebih baik. Jadikan amalan sedekah itu sebagai sebuah inisiatif untuk membentuk diri menjadi versi yang baik dari semalam.
Sesiapa yang berinfak (hartanya) sebanyak dua kali di jalan Allah maka dia akan diseru untuk masuk melalui pintu syurga. “Wahai hamba Allah, ini adalah kebaikan.” Sesiapa yang banyak melakukan solat maka dia akan dipanggil (masuk syurga) melalui pintu solat. Sesiapa yang banyak berjihad maka dia akan diseru melalui pintu jihad. Sesiapa yang banyak berpuasa maka dia akan dipanggil melalui pintu puasa. Dan sesiapa yang banyak bersedekah maka dia akan dipanggil melalui pintu sedekah.
Riwayat Al-Bukhari – 1897 dan Muslim – 1705
Seperti yang dibicarakan oleh Ustazah Asni, bersedekahlah sehingga kita lupa dengan apa yang diberikan dan dihulurkan. Bersedekahlah sehingga hati menjadi ikhlas.
“Setiap amalan dikira bersedekah. Memudahkan orang lain itu ialah sebuah sedekah. Senyum juga sebuah sedekah,” kongsinya.
Tuntasnya, usah berkira jika ingin bersedekah. Didik diri dan hati untuk sentiasa menghulurkan bantuan dan derma kerana sebagai umat Islam, kita sendiri tahu tentang kebaikan disebalik amal sedekah. Maka ingatlah, sedekah bila kaya itu biasa, tetapi sedekah bila miskin itu luar biasa. Selamat beramal!
Tazkirah 2U yang berlangsung pada 21 April lalu diadakan di KOJO Tamarind Square Cyberjaya dan dihadiri lebih 40 penonton termasuk barisan selebriti dan VIP. Membawakan Ustazah Asni Mansor sebagai tetamu jemputan, Tazkirah 2U dihoskan oleh Hana Ismail dan Deyana Desa. Majlis ilmu yang diadakan bersama-sama dengan sesi berbuka puasa ini merupakan hasil kerjasama diantara Hijabista dan Kenanga Investors Berhad.
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI