Bukan mudah untuk seseorang itu berjaya dalam hidup. Pelbagai dugaan diberikan Tuhan, malah ada terpaksa bangkit dua kali sebelum meraih kejayaan paling manis. Begitu juga pengalaman penyanyi Siti Nordiana yang turut berdepan 1001 pengalaman sebelum diberi peluang kedua sebagai seorang penyanyi. Siapa sangka dia yang mesra dipanggil Nana pernah berputus asa dengan kerjaya seninya dan mengambil keputusan berniaga di pasar malam. Bukan itu sahaja, menurut pelantun lagi Terus Mencintai ini dia juga pernah bergaya seksi semata-mata untuk pelancaran lagu, namun semuanya serba tidak menjadi.
Menurur Nana kepada Sinar Hiburan Online memang dia hampir beputus asa ketika itu kerana segala yang dibuat serba tidak menjadi.
“Waktu itu saya rasakan sudah tidak ada ruang buat saya dalam industri ini. Saya tekad berniaga pasar malam dan di bawah-bawah flat untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya ketika ditemui dalam satu sidang media di Putrajaya.
Menurut Nana lagi, dia turut berkongsi kisah sisi kehidupannya sebelum ini menerusi buku berjudul Life Goes On.
“Saya harap apa yang saya ceritakan dapat memberi inspirasi kepada wanita yang senasib dengan saya. Apa yang mereka perlu lakukan apabila berasa putus asa dengan kehidupan,” ujarnya yang turut mendapat reaksi positif daripada pembaca yang sudah membaca buku berkenaan.
Malah, katanya, ramai yang memberi mesej peribadi berkongsi kisah yang sama.
“Ada yang sudah beli dan mesej saya berkongsi kisah mereka pula. Ada yang minta pandangan dan mendapat manfaat daripada kisah saya itu,” ujarnya yang turut berkongsi foto-foto peribadinya yang tidak pernah dimuat naik di laman buku berkenaan.
Menurutnya banyak foto lama sewaktu zaman kesusahannya dulu ketika menyanyi di funfair dan bersama arwah suami, Mohd Faizal Yusuf ada dalam buku itu.
Buku Life Goes On terbitan Must Read itu bakal dilancarkan di MPH hujung minggu ini.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM NANA