Memberi mesej mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di laman instagram, puisi karya Uyaina Arshad mendapat respon hebat daripada pengguna media sosial.
Menerusi video berdurasi 1 minit 30 saat itu, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa ini meminta semua menjaga diri dengan sebaik-baiknya di waktu pandemik ini tanpa perlu menyalahkan sesiapa lagi.
“Menteri sudah dikeji, VVIP sudah dicaci. Selebriti sudah dimaki, golongan kayangan sudah dibenci. Sebab kes yang semakin meninggi. Memang golongan ini kuat mengundang kontroversi.
“Tapi rakyat Malaysia yang lain semuanya berintegriti? Tiada yang rentas daerah curi-curi? Minta surat dari pak polisi, untuk memenuhi kehendak hati?”
Mendapat lebih sejuta tontonan, ramai yang memuji nukilannya itu kerana puisinya itu sarat dengan mesej yang padat dan penggunaan kata yang sedap didengar di halwa telinga masing-masing.