Si Cilik ‘Berhati Besar’ Bangga & Tak Malu Peragakan Uniform MPTI Ayah, Buat Netizen Tersentuh

Share

Sambutan Hari Kanak-Kanak merupakan sambutan yang disambut pada setiap tahun oleh banyak negara tidak terkecuali di Malaysia. Hari kanak-kanak bertujuan untuk meraikan dan menghargai kanak-kanak disamping memberi kesedaran terhadap memelihara isu, hak, masa depan, perlindungan dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia.

Bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak ini, kebanyakan sekolah di Malaysia akan melakukan pelbagai acara termasuklah memberi fokus terhadap tema kerjaya. Pada hari tersebut, pelajar akan berpakaian bersesuaian mengikut kerjaya dan cita-cita masing-masing seperti polis, doktor, cikgu, peguam, chef dan lain-lain. Namun, berbeza kisahnya buat seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 8 tahun ini.

Bangga dengan pekerjaan ayah

Auni, meluahkan rasa bangga dengan pekerjaan bapanya sebagai pekerja pembersihan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI). Walaupun disuruh oleh bapanya untuk memilih pakaian seragam atau uniform lain, anaknya itu tetap berkeras mahu menyarungkan ‘pakaian seragam’ bapanya untuk diperagakan. Kisahnya mendapat perhatian warganet selepas videonya dimuat naik bapanya di TikTok, baru-baru ini.

@md_anuar Hari kanak2 sedunia.tema Kerjaya.aku suruh dia cari baju lain dia pilih baju kerjaya ayah jugak .alahai anak…dia kata ayah kerja ni pun bagi kami makan tempat tinggal….#anaksekolah
#kerjaya #harikanakkanaksedunia #fyp ♬ suara asli – Langit Musik Indonesia

Memetik laporan dari Harian Metro, ibu Auni, Nor Fadilah Jaafar, 39, berkata, anaknya memilih pakaian itu kerana menghargai pekerjaan suaminya walaupun cita-cita si cilik itu mahu menjadi seorang chef.

“Nur Auni Awatif suka makan dan mahu menjadi chef tetapi dia tidak mahu memakai pakaian itu kerana mahukan kelainan selain sebagai tanda sayangnya pada ayahnya.

“Saya suruh bergaya seperti ustazah pun dia tak mahu dan selepas dipujuk akhirnya Auni mencuba seragam anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) yang dipinjam suami dari rakannya tetapi dia tidak muat serta tidak selesa memakainya.

“Kemudian dia terus mencuba t-shirt kerja suami yang dicari sendiri di almari. Walaupun sedikit besar dia cakap selesa memakainya, malah terus meminta ‘pengepit’ dan plastik sampah untuk dia gayakan di atas pentas,” katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan, anak bongsu dari tiga beradik itu sangat rapat dengan bapanya dan pernah mengikut bapanya, Mohd Anuar membersihkan tapak pasar malam sebelum ini. Pada awalnya menurut Nor Fadilah, dia serta suaminya meminta anak bongsu itu memilih kerjaya lain walaupun itu hanya pertandingan sahaja.

“Kami tanya juga tidak kisah ke pakai baju kerja ayah dan tak sangka Auni cakap ‘tak apa, mak dan ayah yang bagi Auni makan, sediakan tempat tinggal dan bangga dengan ayah’.

Dalam pada itu, wanita berusia 39 tahun mengatakan anaknya sangat teruja untuk bersiap ke sekolah dan gembira walaupun cuma mendapat hadiah saguhati dalam pertandingan berkenaan.

“Auni bangun awal dan teruja untuk bersiap ke sekolah dan walaupun dia hanya dapat sagu hati saja dalam pertandingan itu tetapi dia tak sedih langsung, malah berasa gembira,” katanya.

Foto Auni (kanan sekali) bersama rakan-rakannya

Artikel Berkaitan: Hijabi Terkilan Tak Sempat Balas Jasa Arwah Ayah, Buat Netizen Sebak

Bapa luah rasa terharu

Sementara itu, Anuar meluahkan rasa terharu dengan reaksi anaknya serta sangat bersyukur apabila Auni dan dua lagi anaknya memahami kehidupan sederhana mereka.

“Saya seperti mahu menangis apabila mendengar apa yang Auni cakap itu sebab tidak malu, malah bangga dengan kerja saya.

“Itu antara kenangan yang mengusik hati saya selain kenangan dia seronok mendapat basikal rosak yang saya beli dengan harga RM10 saja.

“Saya baiki dan cat semula basikal itu dan tetapi dia sangat gembira macam dapat basikal baru.” ujarnya.

“Semoga kaya berjaya dunia akhirat adik!”

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen turut memberikan kata-kata positif buat kanak-kanak tersebut serta memuji didikan orang tuanya. Video tersebut kini meraih lebih 601.6K tontonan serta 72.2K kesukaan.

“Ya allah. Apa nikmat telah aku dustakan dalam hidup sebelum dan sekarang ini. Terima kasih abg. Untuk video ini. Abg terbaik dalam mendidik anak”

“Terus rasa sebak tgk video ni..semoga satu masa menjadi kebanggaan mak ngn ayah ye dik..”

“Semoga awak membesar dengan penuh rasa bangga terhadap kedua org tua awak ye dik. semoga menjadi anak solehah baik akhlak dan berbakti pd org tua.”

“Alhamdulillah…terbaik…seorg ank yg mnghrgai pkerjaan ayahnye.. InshaAllah moga terus membesar mnjadi ank yg solehah yg bnyk berjasa pada org tuanye”

Artikel Berkaitan: Agungnya Kasih Seorang Ayah, Kasih Ayah Sepanjang Masa, Kasih Ibu Membawa Ke Syurga

MasyaAllah, walaupun si cilik ini masih kecil, tapi dia mempunyai hati yang sangat besar. Hijabista turut mendoakan semoga terus menjadi anak solehah, serta menjadi penyejuk mata penawar hati buat kedua orang tua.

Sumber: Harian Metro dan Tiktok

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
S.Amira