Sambutan Ramadan tahun ini pastinya lebih meriah berbanding tahun sebelum ini kerana negara tidak lagi menjalankan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kemeriahan itu turut dirasai oleh penyanyi kecil molek yang pernah menjuarai program realiti One In a Million, Ayu Damit.
Menurut Ayu, sambutan kali ini lebih luar biasa kerana berpeluang menyambut bersama keluarga tersayang, rakan-rakan artis serta dapat berkongsi kemuiaan bulan Ramadan ini dengan anak-anak yatim.
“Sudah dua tahun kita menunggu untuk merasai sambutan begini. Jadi, saya tidak melepaskan peluang untuk meraikannya bersama-sama yang tercinta,” kongsi Ayu.
Umpan Duit Untuk Berpuasa
Ibu kepada tiga orang anak ini juga turut tidak melepaskan peluang mendidik anak-anaknya untuk berpuasa biarpun anaknya yang bongsu baru sahaja berumur tujuh tahun.
“Anak-anak saya berumur 13, 11 dan tujuh tahun. Setiap daripada mereka saya didik untuk berlatih berpuasa. Namun saya percaya, setiap ibu-bapa mempunyai cara yang berbeza. Untuk anak-anak saya terutamanya yang masih kecil, saya akan umpan mereka dengan wang ringgit sejumlah RM 10 sehari.
Alhamdulillah, biarpun masih kecil, dia berusaha untuk berpuasa penuh. Ada ketikanya bila penat bersekolah, dia akan meminta izin kepada saya untuk berpuasa setengah hari. Jadi, umpannya hanya menjadi RM 5.
Selepas itu, dia kembali berpuasa penuh kerana mahu mendapatkan RM 10. Begitulah juga untuk anak-anak saya yang lain saat saya mengajar mereka berlatih berpuasa.
Lama-kelamaan, ibadah puasa itu sudah sebati dalam diri mereka, dan insyaAllah, mereka akan terus lakukannya bukan kerana wang ringgit apabila sudah dewasa,” tambahnya lagi.
Berbicara soal Aidilfitri yang bakal tiba, dia lebih selesa untuk meraikannya dengan penuh kesederhanaan terutamanya dari perbelanjaan baju raya.
“Baju raya yang lama masih lagi banyak yang tidak dipakai. Jadi, saya dan anak-anak akan memakainya untuk Aidilfitri tahun ini. Masing-masing mempunyai dua pasang baju raya pada tahun ini,” tambahnya mengakhiri ruang bicara ini.
Sumber gambar: Instagram Ayu Damit
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.