Minggu lalu telah berlangsung majlis pernikahan anak pasangan dua jutawan terkemuka negara, SM Faliq yang merupakan waris kumpulan Naza Group dan juga pasangannya, Chryseis yang merupakan anak kepada jutawan, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group. Walaupun sudah lima hari berlalu, keindahan dan keunikan majlis pernikahan ini masih lagi menjadi bualan netizen. Malah pasangan ini juga menjadi carian tertinggi di google sejak umum mengetahui berita pernikahan mereka.
Majlis ini menarik perhatian ramai kerana pertembungan dua budaya yang disatukan dalam majlis penuh eksklusif. Pasangan sama cantik sama padan ini menggayakan persalinan serba putih yang menyerlahkan lagi seri pengantin baru. Berlangsung dalam suasana cukup harmoni yang menyaksikan pertembungan keluarga dari dua budaya berbeza.
Pada majlis penuh bersejarah itu, Chryseis nampak anggun berbusana kurung moden rekaan pereka dari Indonesia, Yefta Gunawan dengan layah putih yang hanya disangkut cantik pada sanggul tinggi. Manakala pasangannya cukup tampan dengan persalinan baju Melayu cekak musang dengan samping dan songkok.
Bukan mereka sahaja mengenakan pakaian kebangsaan, tetapi keluarga kedua belah pihak juga tidak ketinggalan sedondon menggayakan persalinan baju Melayu rona yang sama di majlis berkenaan.
Manakala untuk acara minum teh pula, kelihatannya keluarga SM Faliq juga tampil menarik dengan baju tradisional Cina.
Majlis bertemakan ‘English Garden Wedding’ di langsungkan dalam majlis tertutup di sebuah resort peranginan di The Chateau Spa & Organic Wellness Resort, Bukit TInggi. Menariknya majlis pernikahan ini dihias begitu indah dengan kehadiran bunga mawar merah jambu dan putih tanda cinta yang termeterai antara dua hati.
Apa yang lagi menarik diperkatakan di majlis ini menurut laporan dari Astro Awani, adalah apabila ayah kepada pengantin perempuan, Pengasas Berjaya Group, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun turut berpantun mengikut lenggok yang sangat beralun.
Seorang yang dikenali dan disegani, Tan Sri Vincent Tan tidak terlepas untuk menunjukkan kepakarannya berpantun kepada kepada pihak lelaki.
Menerusi satu video yang dimuat naik di ‘insta story’ laman sosial Instagram milik syarikat pengurusan acara @laskarsonas, video menunjukkan kepetahan luar biasa yang ditonjolkan Tan Sri Vincent Tan berbalas pantun kepada pihak lelaki yang diwakili oleh SM Faisal SM Nasimuddin.
Video itu meraih perhatian dan sorakan dari tetamu yang hadir di majlis tertutup berkenaan.
Mengimbau memori lalu, anak jutawan terkenal Tan Sri Vincent Tan ini telah dilamar oleh usahawan, SM Faliq SM Nasimuddin, 33 tahun. Faliq merupakan anak lelaki kepada Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin melamar Chryseis Tan, 29 tahun, ketika mereka berdua bercuti di Marrakesh. Keduanya kemudian mengikat tali pertunangan
sebelum diijabkabul Jumaat lalu.Masih belum terlambat untuk Hijabista mengucapkan selamat pengantin baru kepada kedua mempelai. Semoga ikatan yang terjalin antara gergasi dunia korporat ini kekal kukuh dan mereka berdua bahagia hingga jannah.
SUMBER FOTO: INSTAGRAM