Seronok Layan ‘Mukbang’ Makan Seafood Mentah? Ketahui Hukumnya Mengikut Syarak!

Share

Jika anda lihat trend di media sosial kini, semakin ramai pempengaruh media sosial yang gemar melakukan ‘mukbang’ iaitu sebuah video memaparkan seorang individu yang makan dalam kuantiti banyak dengan lahapnya.

Malah, ada yang tampil memberikan kelainan dengan menikmati makanan laut (Seafood) secara mentah ataupun hidup kerana ingin menikmati kesegaran yang ditawarkan bagi hidangan seafood mentah ini.

Tetapi tahukah hijabi apakah hukum sekiranya seorang muslim menikmati hidangan yang tidak dimasak ini? Adalah tidak digalakkan dalam agama Islam, jika umatnya mengikuti trend secara ‘membabi buta’ sebaliknya setiap satunya perlu diperhalusi mengikut panduan agama.

Ini Hukum Makan ‘Seafood’ Mentah Menurut Islam

Islam mewajibkan penganutnya agar memilih makanan dari sumber yang halal, kerana makanan yang halal ini sudah pasti baik dan terjamin kebersihannya..

Menurut hukum syarak, makanan halal seharusnya bersifat suci dari segi zat, datang dari sumber yang bersih, tidak memudaratkan tubuh badan dan memberi manfaat khususnya terhadap kesihatan fizikal dan mental seseorang.

Justeru itu, Islam melarang umatnya memakan makanan yang masih hidup atau belum dimasak. Contohnya seperti tiram, fillet Salmon, anak udang hidup, sotong hidup dan sebagainya.

Ini demikian kerana, Allah SWT berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu,” [Surah al-Baqarah, ayat 168]

Malah, asbab firman yang diturunkan ini, terdapatnya beberapa perbahasan untuk menerangkan dengan lebih mendalam tentang firman yang diturunkan oleh Allah ini.
Jadi sebelum hijabi terjebak untuk mencuba trend-trend mukbang yang sering dimuatnaik di laman sosial ini, apa kata sis semak dahulu hukumnya menurut sudut pandang Islam.

‘Makruh’ Makan Makanan Laut Hidup-Hidup!

Umum sedia maklum, bahawa makanan laut adalah makanan yang sememangnya halal untuk dimakan oleh umat Islam sekiranya makanan itu tidak memberikan mudarat kepada manusia, seperti yang termaktub dalam firman Allah menerusi surah Al-Maidah dalam Al-Quran.

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut,” (Surah Al-Maidah, ayat 96)

Perkara sama juga telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya,” (Hadith Riwayat Ahmad, 7233)

Bagaimanapun, adalah makruh dan tidak digalakkan bagi umat Islam untuk memakan hidupan laut yang masih hidup seperti Tiram, Sotong Kurita dan lain-lain.

Ini demikian kerana, baginda nabi Rasulullah SAW mendidik umatnya agar mempunyai sifat ihsan dan empati terhadap semua makhuk ciptaan Allah termasuklah haiwan tidak kira hidupan laut mahupun darat.

Artikel berkaitan: Gemar Makan Hidangan Mewah Perancis ‘Escargot’, Larangan Dalam Islam Kerana Hukumnya…

Baginda menjelaskan perkara berkenaan dalam sabdanya:

“Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya,” (Hadith Riwayat Muslim, 1955)

Haa.. dah tau kan hukum menjamah makanan laut hidup-hidup? Sebaiknya, utamakan kebersihan dalam pemilihan makanan anda!

Kerana makanan yang telah di masak lebih terjamin kualitinya dan tahap kebersihannya serta tidak membawa mudharat kepada anda.

Maka, pilihlah makanan yang bukan sekadar halal tetapi juga bersih, suci dan memberi khasiat pada tubuh badan.

Artikel berkaitan: Telur Balut Enak Di Makan? Ketahui Hukum Memakan Makanan Eksotik Ini

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
Haifa Nasir