Sering Terlepas Solat Subuh, Sedap Tarik Selimut. Hindari Maksiat Ini Kuncinya!

Share

Solat Subuh merupakan salah satu daripada lima solat fardu yang diwajibkan ke atas umat Islam. Solat fardu tidak boleh ditinggalkan sama sekali kerana ia termasuk dalam dosa-dosa besar. Sekiranya tertinggal, wajib diqada’.

Kita sering terlepas melakukan solat Subuh kerana ia dilakukan bermula daripada fajar menyingsing hinggalah terbit matahari. Pada waktu orang sedang solat Subuh, kita pula tengah sedap tarik selimut.

Kadangkala, kita berazam untuk bangun solat Subuh tetapi tidak juga bangun. Keadaan ini sering terjadi pada hujung minggu. Oleh itu, kami paparkan 5 tip agar anda tidak lagi terlepas solat Subuh bermula hari ini.

1. Tidur awal

Kebiasaannya, mereka yang tidur awal akan bangun awal, begitu juga sebaliknya. Oleh sebab itu, makruh hukumnya tidur sebelum solat Isyak dan berborak kosong serta membuang masa selepasnya sehingga tidur lewat.

Sebab dimakruhkan berbual-bual selepas solat Isyak ialah yang membawa kepada berjaga malam dan dibimbangi akan menyebabkan tertidur nyenyak hingga tertinggal qiamulail atau terlepas solat Subuh pada waktunya atau waktu yang afdhalnya dan adalah makruh berbual-bual selepas solat Isyak iaitu dalam perkara-perkara yang tiada kemaslahatan seperti mempelajari ilmu, membicarakan kisah orang-orang soleh, berbual dengan tetamu, berbual dengan ahli keluarga bagi mengeratkan hubungan dan menunaikan keperluan mereka, berbual dengan orang musafir bagi menjaga harta dan diri mereka, berbual dalam urusan mendamaikan antara manusia dan membantu mereka dalam perkara kebaikan, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, menunjukkan kepada kemaslahatan dan yang seumpamanya, semua itu tidaklah termasuk dalam perkara makruh.

(Imam Al-Nawawi dalam huraiannya kepada Sahih Muslim)

2. Memelihara Adab Tidur

Kunci kedua untuk mudah bangun Subuh ialah memelihara amalan sunah ketika tidur pada waktu malam. Antara amalan sunah yang boleh diamalkan adalah berwudhu’ dan membaca surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas. Bagi anda yang sukar bangun pagi, mohon pertolongan ahli keluarga atau kawan untuk membantu menggerakkan anda untuk bangun di awal pagi. Atau sediakan jam loceng.

3. Memenuhkan Dada Dengan Iman & Amal Soleh

Keimanan merupakan pendorong utama untuk seseorang individu melakukan amalan yang sukar. Contohnya, mengerjakan qiamullail dan solat Subuh di masjid adalah amalan yang sukar dan tidak dapat dilakukan kecuali oleh mereka yang benar-benar yakin kepada janji kebaikan daripada Allah Taala.

Bagi meningkatkan keimanan, anda hendaklah banyak melakukan kebaikan kerana dengan hati yang suci dan bersih sahaja dapat menyuburkan Iman seseorang individu itu. Sebaliknya hati yang kotor akan menjadi keras dan ia merupakan penghalang kepada seseorang itu untuk melakukan amal ibadah.

4. Jauhi Perbuatan Maksiat

Maksiat adalah salah satu penghalang untuk anda bagun solat Subuh. Oleh itu, jauhi segala maksiat iaitu maksiat mata seperti melihat perkara yang haram seperti melihat aurat wanita, maksiat lidah iaitu mengumpat dan mengata, maksiat telinga seperti mendengar hiburan yang haram serta umpatan dan fitnah. Kebiasaannya, mereka yang melakukan maksiat sukar untuk bangun solat Subuh kerana ia melemahkan naluri untuk beramal soleh.

5. Ketahui Kesan Meninggalkan Solat Subuh

Antara punca jiwa menjadi lemah adalah bangun lewat dan meninggalkan fardu Subuh. Oleh itu, syaitan sentiasa cuba menghalang orang yang beriman untuk mendapatkan kelebihan di waktu Subuh dengan menghalangnya bangun pagi. Hukuman meninggalkan solat Subuh adalah anda akan disiksa selama 60 tahun di dalam neraka. Ngeri kan?

Waktu selepas solat Subuh adalah waktu yang penuh dengan kebaikan dan keberkatan. Nabi Muhammad s.a.w sangat memelihara waktu tersebut dengan memenuhkannya dengan zikir. Baginda selalu berzikir sehingga terbit matahari dan terus melakukan solat sunat Dhuha.

Jika kita lihat, kebanyakan orang yang berjaya dalam urusan dunia seperti orang berniaga kerana mereka memulakan kerja mereka pada awal pagi. Pada awal pagi, rezeki terbuka luas. Selain itu, bangun awal juga mempunyai kebaikan daripada sudut kesihatan kerana udara yang dihirup pada waktu Subuh adalah udara yang segar. Ia mampu mencerdaskan otak, mendamaikan jiwa dan mencergaskan fizikal.

Sekiranya anda berjaya bangun solat Subuh, ia adalah bukti kekuatan iman anda kerana anda menang dalam peperangan hawa nafsu dan hasutan syaitan supaya terus tidur

Sumber: khalifahmedia.com

Published by
SH