Popular di aplikasi TikTok dengan mempunyai jumlah pengikut melebihi sejuta, Norhidayatul Asmiera Md Asadzzman Hoque,19, yang mesra disapa Angah ini menjadi tular di kalangan warganet apabila dia dipelawa menjadi model koleksi hijab terbaharu milik pasangan usahawan terkenal, Datuk Aliff Syukri dan Datin Shahida.
Ramai yang terpesona apabila melihat fotonya yang ayu berhijab disebabkan penampilannya sebelum ini yang berambut pendek dan berpakaian seperti lelaki.
Sudah lali dikecam kerana berimej sedemikian, Angah tidak pernah mengambil hati malah menerima segala kritikan dengan hati terbuka. Dia juga melihatnya dari sudut positif agar dapat berubah ke arah kebaikan suatu hari nanti.
@hell0angah0.2✨♬ original sound – Fadhilah Intan ✨
Jelas Angah, dia bukanlah seorang yang kasar dan ganas cuma dia memang selesa dengan imejnya yang sebegini sejak dari usia 12 tahun lagi.
“Keluarga selalu tegur. Apa yang salah pasti mereka tegur. Mak saya pun membantah. Dia selalu minta saya pakai tudung. Tapi mak ayah tahu yang suatu hari nanti saya akan berubah. Kita sendiri tahu mana yang baik dan buruk,” jelasnya yang mengusahakan perniagaan bundle dan kosmetik ini.
Selain itu, Angah juga berasa terharu apabila ada netizen yang sudi mendoakan untuknya dan memberikan kata-kata semangat agar dia mengubah penampilan suatu hari nanti.
“Apa yang saya buat, saya tak harapkan penilaian orang tapi saya buat untuk kepuasan diri sendiri. Saya tak pernah hiraukan kecaman dan segala teguran netizen saya terima.
“Mana tahu doa salah seorang daripada mereka diangkat Allah. Saya sentiasa mengharapkan doa-doa mereka semua. Saya berpegang kepada satu kata-kata, kita hidup kena santai, jangan sampai kena bantai,” ujarnya kepada mstar.
kredit: mstar online