Kecantikan

Serbuk Kulit Kayu Manis Antara Rahsia Pengasas Tudung Ruffle Miliki Kulit Yang Mulus & ‘Flawless’

Share

Tidak dapat dinafikan setiap wanita mahu memiliki kulit yang cantik, mulus dan berseri. Pelbagai jenis produk boleh didapati di pasaran tetapi anda perlu tahu dahulu jenis kulit anda sebelum membeli sesuatu produk itu. Bimbang tidak sesuai dan akhirnya menimbulkan masalah lain pula.

Seperti pemilik Tudung Ruffle, Hanis Arif atau lebih mesra disapa sebagai Anis, dahulu dia pernah tersilap langkah kerana tersalah memakai produk.

Ini kerana terpengaruh melihat wajah rakannya yang licin apabila menggunakan produk tersebut. Akibatnya, Anis terpaksa berhadapan dengan masalah kulitnya yang ditumbuhi jerawat.

Menurut Anis, kejadian tersebut sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada Anis untuk terus berhati-hati dalam memilih sebarang produk untuk kulit. Kini, alhamdulillah kulitnya sudah pulih.

Tidak dinafikan bahawa Anis sangat teliti dalam penggunaan produk pada wajahnya. Jangan terkejut jika dikatakan Anis hanya menggunakan pencuci muka sahaja untuk mencuci mukanya.

Tiada toner, moisturizer atau sebarang serum. Agaknya macam mana nak dapatkan kulit yang cantik macam Anis ya?

“Sebelum tidur, Anis akan pastikan Anis bersihkan makeup terlebih dahulu jika ada makeup yang Anis pakai pada hari itu. Jika tidak, Anis akan cuci muka seperti biasa menggunakan pencuci muka.

“Anis memang tiada pakai sebarang produk muka lain kecuali sabun pencuci muka sahaja. Agak trauma juga nak pakai sebarangan produk kerana bimbang kejadian lama berulang,” ujar Anis sambil tersenyum manis.

Hijabista turut bertanya Anis tentang petua untuk memiliki kulit yang cantik sepertinya. Katanya, sebelum tidur perlu pastikan wajah dicuci dengan bersih. Jika tidak, pasti akan tumbuh jerawat pada keesokan harinya.

Selain itu, Anis juga kerap melakukan facial dan hanya akan gunakan produk yang beautician cadangkan kerana hanya mereka yang tahu apa yang terbaik untuk kulit kita. Anis akan melakukan facial

sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

Jangan sangka Anis hanya menggunakan rawatan moden sahaja dalam penjagaan kulit. Anis tetap menggunakan petua tradisional untuk menghilangkan parut jerawat pada wajahnya satu ketika dahulu.

Rahsianya, hanya gunakan serbuk kulit kayu manis. Anis akan letakkan serbuk kulit kayu manis pada parut jerawatnya dan dalam masa lebih kurang seminggu, parut tersebut akan pudar dan hilang.

Wow, petua yang mudah dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Kalau anda ada masalah seperti Anis dahulu, boleh cuba lakukan petua ini.

Hijabista sendiri kagum dengan tubuh langsing yang dimiliki Anis. Rupa-rupanya, sejak dari kecil lagi keluarga Anis memang sudah mengamalkan pemakanan yang sihat serta mengurangkan pengambilan makanan yang berminyak dan bersantan.

Malah, Anis juga amalkan memakan ulam dan sayur-sayur yang direbus. Jadi bila sudah terbiasa daripada kecil,cara pemakanan ini terus dibawa hingga kini. Patutlah Anis maintain kurus dan cantik walaupun sudah punyai seorang cahayamata.

Gambar: Instagram Nononesss

Published by
Siti Zurina