Tidak dapat dinafikan bahawa semua orang bekerja keras kerana ingin mendapatkan rezeki yang melimpah seperti wang dan harta yang melimpah. Namun yakinlah bahawa rezeki itu sudah ditentukan Allah.
Walaupun kita sudah berusaha mencarinya dengan cara bekerja keras siang dan malam jika itu bukan rezeki kita maka hasil yang kita dapat hanyalah rezeki yang telah diperuntukkan kepada kita. Namun jika sudah
Allah tetapkan rezeki itu, meskipun kita tidak menginginkannya, maka rezeki ini akan datang sendiri kepada kita dengan tidak disangka-sangka.
Namun ada golongan yang selalu dikejar-kejar rezeki. Yakni golongan orang-orang yang telah dijamin Allah rezekinya. Allah menjamin dan mencukupkan rezekinya melalui berbagai perkara.
Allah SWT berfirman, “Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Dia akan memberikannya jalan keluar, dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”
(At-Thalaq:2-3)Berikut dikongsikan beberapa amalan menjemput rezeki.
1. MENYEMPATKAN DIRI UNTUK BERIBADAH
Allah SWT tidak sia-siakan pengabdian diri hambaNya, seperti firmanNya dalam hadis Qudsi:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembahKu maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (H.R Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah R.A)
2. MEMPERBANYAKKAN ISTIGHFAR DAN INGAT PADA ALLAH
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah SWT, yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hambaNya. Lalu, Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba.
Sabda Nabi SAW, “Barang siapa yang memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (H.R Ahmad, Abu Daud, an-N as a’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas R.A.)
3. TINGGALKAN PERBUATAN DOSA
Istighfar ‘tidak laku’ di sisi Allah SWT jika masih buat dosa. Dosa bukan sahaja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki.
Sabda Nabi SAW.: “… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (H.R At-Tirmizi)
4. BERBAKTI DAN MENDOAKAN IBU BAPA
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah SAW. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Baginda SAW. juga bersabda: “Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (H.R Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.: “Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah) daripadanya.” (H.R al-Hakim dan ad-Dailami)
5. BANYAK BERSELAWAT
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat.
6. BANGUN PAGI
Menurut Rasulullah SAW, berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat. Jangan tunggu sehingga matahari naik baru hendak memulakan sesuatu kerja.
7. MENJALINKAN SILATURRAHIM
Nabi SAW bersabda: “Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (H.R Bukhari)
8. SENTIASA BERADA DALAM KEADAAN BERWUDUK
Seorang Arab desa telah menemui Rasulullah SAW dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah.
Baginda SAW bersabda: “Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah SWT akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan oleh Sayidina Khalid al-Walid)
9. BERSEDEKAH
Sedekah mengundang rahmat Allah SWT dan menjadi sebab Allah untuk membuka pintu rezeki. Nabi SAW. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam: “Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang
Arasy, yang dikirim oleh Allah kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (H.R ad-Daruquthni dari Anas R.A.)
10. MELAZIMKAN SOLAT DHUHA
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang lain sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri.
Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi: “Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”(H.R al-Hakim dan Thabrani).