“Senaman ‘Skipping’ Bantu Untuk Merawat ‘Mental Breakdown’ Yang Saya Alami”- Bella Zahir

Share

Senaman ‘skipping’ merupakan salah satu senaman yang banyak memberikan kebaikan kepada kesihatan tubuh badan. Bukan sahaja mampu mengurangkan lemak di bahagian perut, malah senaman ini juga berupaya untuk membakar kalori dengan tinggi.

Selebriti terkenal, Bella Zahir antara artis yang kerap kali memuat naik video senaman ‘skipping’nya di laman Instagram. Memilih untuk menjadikan senaman itu sebagai hobi terbaru dikala pandemik Covid-19 melanda negara, team Hijabista menemu-ramah pengacara berkaliber ini tentang hobinya yang terbaru iaitu senaman ‘skipping’.

  1. Sejak bilakah anda mula berjinak-jinak dengan senaman ini?

Secara jujurnya, saya mula melakukan senaman ini pada hujung bulan Jun yang lalu. Masih baru dan sedang memperbaiki apa yang kurang dalam senaman ini.

2. Mengapa memilih senaman ‘skipping’ ini sebagai hobi yang baru?

Saya sebenarnya memang sukakan aktiviti-aktiviti yang sebegini. Sebelum ini saya gemar melakukan senaman yoga ataupun latihan HIIT Cardio. Tetapi lama-kelamaan sudah menjadi bosan dan ingin melakukan senaman yang lain. Jadi, saya kira senaman ‘skipping’ ini antara senaman yang banyak kebaikannya terutamanya apabila saya banyak meluangkan masa di rumah ketika pandemik ini melanda.

 3. Apakah kebaikan senaman ini yang anda perolehi?

Seperti yang saya katakan tadi, ia menjadi salah satu cara untuk saya menghilangkan rasa bosan di rumah. Selain itu juga, sepanjang pandemik ini berlaku dan saya banyak menghabiskan masa di rumah, kadang-kala ia memberi kesan kepada emosi, perasaan juga mental saya. Hal ini saya tidak bicarakan kepada orang lain, tetapi hakikatnya itulah yang terjadi kepada saya. Untuk memastikan saya tidak terlalu fokus melayan perasaan, jadi senaman ini banyak membantu saya untuk kembali positif, bertenaga dan kekal bersemangat. Stamina tubuh badan juga semakin meningkat! Selain itu juga, bahagian atas badan saya sudah sedikit mengecil. Jujurnya saya tidaklah meletakkan apa-apa matlamat untuk menguruskan badan apabila melakukan senaman ini, tetapi saya akui ada sedikit perbezaan pada saiz tubuh badan saya.

4. Pernahkah anda mengalami sebarang kecederaan semasa melakukan senaman ini?

Alhamdulillah, saya tidak pernah lagi mengalami sebarang kecederaan.

Selain itu juga, sepanjang pandemik ini berlaku dan saya banyak menghabiskan masa di rumah, kadang-kala ia memberi kesan kepada emosi, perasaan juga mental saya. Hal ini saya tidak bicarakan kepada orang lain, tetapi hakikatnya itulah yang terjadi kepada saya. Untuk memastikan saya tidak terlalu fokus melayan perasaan, jadi senaman ini banyak membantu saya untuk kembali positif, bertenaga dan kekal BERsemangat.

5. Berapa kerap anda melakukan senaman ini?

Selalunya saya akan melakukan senaman ini empat hingga lima hari dan akan berehat selama dua hari untuk memastikan otot-otot saya berehat dan pulih seperti sediakala. Selalunya saya akan melakukan senaman ini pada waktu pagi selepas Subuh atau jika saya sibuk bekerja, saya akan mengambil sedikit masa pada waktu petang selepas Asar. Lazimnya, saya akan menghabiskan masa dalam 15 minit untuk 1000 lompatan. Tetapi saya juga ‘target’ untuk membuat 5000 lompatan. InsyaAllah!

6. Apakah perkara yang harus dilakukan sebelum, semasa dan selepas melakukan senaman ‘skipping’?

Untuk sebelum senaman, saya akan makan satu jam sebelum memulakan senaman ini untuk memberi tenaga pada tubuh badan. Semasa melakukan senaman ‘skipping’ ini pula, pastikan anda sentiasa bernafas supaya anda dapat melakukan pelbagai jenis rentak lompatan ‘skipping’. Apabila kita menahan nafas, jadi ia menyukarkan kita untuk terus melompat dalam tempoh yang lama. Bagi selepas senaman pula, pastikan anda ‘cool down’ dahulu dan selepas beberapa minit barulah anda makan untuk menambahkan semula tenaga dan otot-otot boleh pulih seperti biasa. Jika saya mahukan bentuk senaman yang saya lakukan lebih ekstrem, saya akan tambahkan latihan HIIT Cardio seperti plank ataupun squat untuk memastikan rutin senaman saya lebih menarik dan tidak bosan.

7. Apakah tiga perkara penting untuk mereka yang mahu melakukan senaman ini?

Pertamanya, usah bandingkan kemampuan serta prestasi kita dengan yang lain, terutamanya dengan mereka yang sudah lama melakukan senaman ini. Lakukan senaman ini dengan mengikut kemampuan diri kita. Kedua, fahami dan pelajari dulu perkara asas tentang senaman ‘skipping’ ini untuk mengelakkan sebarang kecederaan ataupun kesilapan ketika melakukannya. Terakhir sekali, anda harus suka dengan apa yang anda lakukan untuk memastikan kualiti senaman kita berada dalam tahap yang baik dan memberikan kebaikan kepada tubuh badan.

Jika saya mahukan bentuk senaman yang saya lakukan lebih ekstrem, saya akan tambahkan latihan HIIT Cardio seperti plank ataupun squat untuk memastikan rutin senaman saya lebih menarik dan tidak bosan.

Sumber gambar & video: Instagram Bella Zahir

Published by
Putra