Menggunakan analogi penjual pisang goreng bernama Makcik Kiah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada bantuan diumumkan kerajaan, rakyat mampu tersenyum dengan pelbagai bantuan disalurkan.
“Daripada semua bantuan kerajaan ini, saya nak beri satu contoh mudah supaya saudara-saudari senang kira. Contohnya, Makcik Kiah penjual goreng pisang yang duduk di PPR Desa Tun Razak, yang suaminya adalah pesara kerajaan dan sekarang ini bawa Grab.
“Anak Makcik Kiah adalah peminjam PTPTN. Pendapatan isi rumah Makcik Kiah di bawah RM4,000 sebulan. Dengar baik-baik. Saya nak bantu buat pengiraan berapa keluarga Makcik Kiah akan dapat,” katanya ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion, tadi.
Beliau berkata, keluarga Makcik Kiah akan dapat Bayaran Prihatin Nasional sebanyak RM1,600, baki BSH sebanyak RM600, bantuan pesara sebanyak RM500 dan bantuan tunai e-hailing sebanyak RM500.
“Kalau suami Makcik Kiah berkhidmat dengan RELA, dia akan dapat RM200 sebulan sehingga wabak berakhir. Keseluruhan pemberian tunai yang keluarga Makcik Kiah akan dapat ialah sekurang-kurangnya RM3,400.
“Selain itu, keluarga Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan sewa PPR selama enam bulan sebanyak RM744, penjimatan penangguhan pinjaman kenderaan selama enam bulan sebanyak RM1,800, penjimatan bayaran bil elektrik selama enam bulan sebanyak RM120,” katanya.
Menurutnya, anak Makcik Kiah juga akan dapat penjimatan daripada penangguhan bayaran balik PTPTN selama enam bulan sebanyak RM1,200.
“Kalau Makcik Kiah ada buat pinjaman kredit mikro untuk perniagaan goreng pisang dengan bayaran balik pinjaman sebanyak RM100 sebulan, Makcik Kiah akan dapat penjimatan sebanyak RM600. Keseluruhan penjimatan ialah sebanyak RM4,464.
“Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Makcik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864. Jadi Makcik Kiah pun dah boleh tersenyum sikit dengar kiraan yang saya buat,” katanya.
1.Bantuan RM1,600 kepada hampir 4 juta isi rumah berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.
2.Bantuan RM1,000 kepada hampir 1.1 juta isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 sebulan
3.Bantuan RM800 kepada 3 juta individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah
4.Bantuan secara one-off sebanyak RM200 seorang kepada pelajar institusi pengajian tinggi yang ketika ini turut terkesan
5.Bantuan tunai RM500 kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak. Bayaran akan dibuat pada bulan April 2020
6.Bantuan RM500 secara one-off kepada lebih 850,000 pesara Kerajaan juga pada bulan April 2020
7.Penangguhan bayaran balik pinjaman kepada peminjam Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran mulai 1 April 2020 hingga 30 September 2020. Inisiatif ini akan memanfaatkan seramai 174,500 peminjam.
8.Kerajaan akan bekerjasama dengan NGO, persatuan dan usahawan sosial yang berkaitan untuk menyalurkan bantuan makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan dengan peruntukan sebanyak RM25 juta #prihatinrakyat
9.Bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari bawah MySalam, turut dipanjangkan kepada golongan B40 yang dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI)
10.Pengecualian pembayaran sewa bagi PPR dan Perumahan Awam selama 6 bulan
11.Kerajaan bersama TNB akan menambah peruntukan RM530 juta untuk diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kW sebulan bagi tempoh enam bulan mulai bil bulan April 2020 #prihatinrakyat
12.Antara pakej khas yang akan ditawarkan syarikat-syarikat komunikasi adalah internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 selama tempoh pelaksanaan PKP #prihatinrakyat
Sumber kredit: Harian Metro, BERNAMA, FB Muhyiddin Yassin, Astro Awani & Artortoise (Ilustrasi)