Sembang Bersulam Carutan, Barangkali Sudah Menjadi Kebiasaan Di Rumah – Zulin Aziz

Share

Jika lihat di laman media sosial hari ini, ia diibaratkan seperti sebuah ruang untuk menyuarakan pendapat serta sebuah platform untuk berkongsi cerita dan momen.

Namun, pengguna laman sosial hari ini, terutamanya mereka yang sering membuat sesi ‘live’ di laman Instagram atau TikTok contohnya, kadang-kala hilang batasan sehingga ada yang mengeluarkan kata-kata kesat yang mungkin memberi impak negatif kepada yang menonton.

Berbicara isu Sembang Bersulam Carutan, The Hijabista Show menemu bual pelakon juga pengacara popular, Zulin Aziz untuk berkongsi perspektif tentang trend hari ini yang menjadikan carutan sebagai perkara biasa dalam kehidupan harian.

Mengulas lanjut isu tersebut, Zulin menegaskan bahawa personaliti diri seseorang itu dapat dilihat dari percakapan serta apa yang dilontarkan dari mulutnya. Jika jahat kata-katanya, maka jahat jualah dirinya. 

Tidak kira siapapun kita, percakapan itu menunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Pakaian tidak melambangkan diri kita. Manusia ini kadang-kala apabila sudah bercakap, dia jadi terlupa tentang batasan. Akhirnya, menonjolkan diri mereka yang sebenar.

Tambah Zulin, apabila seseorang itu suka mencarut, barangkali sudah terbiasa bila di rumah dan menjadi rutin harian mereka untuk mengeluarkan kata-kata yang tidak baik. Jadi, apabila di luar rumah, dan tidak mampu mengawal diri, maka ia terus menonjolkan diri mereka yang sebenar.

Mengenai platform media sosial pula, menurut Zulin, netizen mempunyai hak untuk memilih apa yang ingin dilihat juga yang ingin dibaca. Namun, tambahnya lagi, masyarakat hari ini lebih suka memilih yang negatif untuk dijadikan sebagai bahan bualan mereka sehingga kadang-kala menimbukan fitnah.

Sebenarnya, untuk kita kawal mereka yang bergelar ‘infleuncer’ ini untuk tidak mengeluarkan kata-kata negatif amat susah. Namun, netizen harus bijak untuk memilih apa yang ingin dilihat, dibaca dan ditonton di media sosial. Anda boleh pilih siapa yang ingin anda ikuti. Kalau negatif tu, janganlah ikut.

Zulin menasihati agar menjaga diri dan pertuturan yang dilontarkan kala menggunakan media sosial. Tambahan pula, kali ini apa yang kita tunjukkan dan tayangkan boleh direkodkan. Jadi, jagalah diri selalu.

Sumber gambar: Instagram Zulin Aziz

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 

Published by
Putra