Selepas 56 Tahun, Akhirnya Kerajaan Singapura Benar Jururawat Hospital Awam Mengenakan Hijab

Share

Isu pemakaian hijab bagi pekerja badan beruniform di Singapura sekian lama menjadi isu terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu Muslim. Singapura yang merupakan sebuah negara republik dan mengamalkan konsep sekular tidak menyebelahi mana-mana agama.

Keputusan yang dibuat itu telah diumumkan ketika sidang rapat umum Hari kebangsaan Singapura (NDR) 2021 kelmarin. Dalam ucapan yang disampaikan dalam tiga bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Inggeris, Lee berkata, “Pemerintah telah mengambil keputusan mengenai soal tudung, mulai November nanti jururawat Muslim di sektor kesihatan awam akan dibenarkan untuk memakai tudung dengan seragam mereka, jika mereka mahu.”

Isu ini bukanlah perbincangan yang asing bagi kerajaan Singapura dan juga pertubuhan Islam negara tersebut yang telah lama mengusulkan kebenaran untuk membenarkan wanita Muslim yang bekerja dalam sektor badan beruniform untuk bebas berhijab dan mengamalkan kepercayaan mereka tanpa sebarang batas.

Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong

Ujar Perdana Menteri Singapura ke-3 ini lagi, “Saya harap keputusan ini akan diterima semua pihak dengan semangat yang betul dalam usaha untuk memperkukuh iltizam sesama kita bagi masyarakat berbilang kaum dan agama Singapura.”

Isu berhijab bagi penjawat awam terutamanya dalam badan beruniform bukanlah perkara baharu. Namun sudah banyak negara bukan majoriti penganut agama Islam yang secara progresif membenarkan wanita Muslim untuk berhijab bahkan mereka hijab khusus agar seragam dan sesuai dengan uniform yang digayakan.

Semoga wanita Muslim Singapura yang berada dalam unit badan beruniform lain bakal menerima layanan yang sama untuk diberi kelonggaran berhijab seperti yang baru sahaja diperoleh jururawat hospital awam negara tersebut.

Sumber: (1)

Sumber gambar utama: Medelita

Published by
Fiezreen