Penyanyi Azzam Sham dan pasangannya, Sheryl Shazwanie selamat menyambut cahaya mata pertama mereka pada jam 9.45 malam Ahad yang lalu. Sheryl melahirkan bayi perempuan seberat 2.89 kilogram dengan kaedah pembedahan di Assunta Hospital Petaling Jaya.
Azzam atau nama sebenarnya, Muhammad Azzammuddin Lop Hisham berkongsi berita gembira tersebut melalui Insta Story miliknya. Dia memanjatkan rasa syukur apabila isteri tercinta selamat bersalin dan proses kelahiran anak sulung mereka dipermudahkan.
Bercerita mengenai momen menyambut kelahiran anaknya, Azzam menyatakan bahawa dia berpeluang berada di sisi Sheryl dalam bilik pembedahan dan menyaksikan sendiri proses isterinya bersalin.
Menurut Azzam, pengalaman tersebut membuatkan dia insaf dan memberi kesedaran bertapa berharganya pengorbanan seorang isteri yang sanggup bertarung nyawa demi melahirkan zuriat dan tiada galang ganti mahupun dibayar dengan wang ringgit.
Artikel Berkaitan: Rancang Kahwin Tahun Depan, Sheryl Shazwanie Selamat Bertunang Dengan Azzam Sham
Menerusi Insta Story tersebut, Azzam telah berkongsi foto Sheryl yang dilihat berada di dalam wad, diikuti sebuah video menyaksikannya masuk ke dewan pembedahan. Dia juga sempat memohon doa daripada orang ramai buat isterinya itu.
Selepas isterinya selamat bersalin, Azzam telah memuat naik foto cahaya mata mereka yang ditutupi dengan emoji bunga.
“Alhamdulillah Sheryl selamat melahirkan anak sulung kami.
“Terima kasih pada semua yang mendoakan, maaf kalau ada yang Azzam tak sempat reply DM,” tulisnya.
Terbaru, Sheryl turut berkongsi video pendek yang merakamkan Azzam sedang tersenyum lebar sambil memegang anak mereka dengan penuh kasih sayang. Keadaan Sheryl juga dilihat semakin baik selepas pembedahan. Malahan, dia juga sempat memuat naik swafotonya berserta tulisan ‘Selfie dulu’.
Akui Azzam, dia masih belum mempercayai situasi yang sedang dilaluinya. Dia kini sudah bergelar seorang bapa dan juga menganggap ia satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.
“Sebenarnya masih terkejut lagi sekarang ini. Dalam masa sama saya amat gembira.
“Saya dapat masuk ke bilik pembedahan bersama isteri. Melihat doktor menyambut anak kami, mendengar bayi menangis adalah satu pengalaman yang tak akan saya lupakan. Ia satu yang sangat berharga buat saya,” katanya melalui Mstar.
Artikel Berkaitan: Sama Cantik Sama Padan, Seri Pengantin Sheryl Shazwanie & Azzam Sham Terserlah Di Hari Bahagia
Sekadar info, Azzam dan Sheryl mendirikan rumah tangga pada 1 Januari lalu di Masjid Nurul Ehsan Taman Medan, Petaling Jaya. Pasangan ini juga mengumumkan bakal menyambut cahaya mata pertama mereka pada Julai lalu ketika usia kandungan Sheryl memasuki lima bulan.
Sumber: Instagram Azzam Sham, Sheryl Shazwanie dan Mstar
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI