Bertuah sungguh Biduanita Negara kesayangan ramai, Dato’ Sri Siti Nurhaliza apabila ulang tahun kelahirannya yang ke-46 tahun dirai dalam sebuah majlis yang cukup meriah dan mewah baru-baru ini.
Majlis tersebut dihadiri ramai barisan selebriti dan insan-insan ternama tanah air.
Salah seorangnya ialah Datuk Faridah Hanim Haron atau terkenal dengan panggilan Ibu Hanim. Beliau terkenal sebagai ‘guru’ kepimpinan dan organisasi yang banyak mendidik para usahawan dan peneraju pelbagai cabang empayar niaga menggapai kejayaan.
Malah, figura yang berusia hampir 60 tahun ini turut menitipkan kata-kata bermakna buat Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Ibu Hanim memuat naik satu video pendek bersama kata-kata bermakna itu di Instagramnya.
“Selamat ulang tahun kelahiran, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, permata seni yang tiada tandingan. Dalam perjalanan hidup ini, Ibu menyaksikan keindahan yang Dato’ Sri bawakan, bukan sekadar suara yang menyentuh jiwa, tetapi akhlak yang menyentuh hati.”
Ibu Hanim turut menganggap Dato’ Sri Siti Nurhaliza seorang wanita istimewa kerana sentiasa merendah diri biarpun namanya kini berada di puncak kegemilangan.
“Meski nama meniti setinggi langit, wanita istimewa ini tetap merendah ke bumi, mendekati insan dengan kasih sayang dan rendah hati. Inilah keindahan sejati biduanita negara, bersinar tanpa melukai, menyinari tanpa menghilangkan cahaya orang lain.”
Titip bu Hanim buat Dato’ Sri Siti Nurhaliza agar terus menghasilkan karya terbaik yang menyentuh jiwa semua.
“Semoga Allah terus melimpahkan rahmat dan kasih Nya, memberkati usia yang bertambah ini dengan kesihatan, kebahagiaan dan keberkatan. Teruskan menyentuh hati kami semua dengan karya yang tulus dan jiwa yang ikhlas.”
Di akhir posting, Ibu Hanim menitip doa buat artis nombor satu negara ikesayangan ramai itu.
“Ibu mendoakan agar setiap langkah Dato’ Sri diberkati, setiap impian tercapai dan setiap usaha menjadi asbab kebaikan kepada semua.
“Selamat hari jadi, bidadari seni tanah air. Semoga langit terus memeluk doa-doa baikmu.”
BACA JUGA: “Perancangan Ke Hadapan Masih Panjang” DATO’ SRI SITI NURHALIZA Diiktiraf Sebagai Biduanita Negara
Untuk info, lebih 20 tahun menimba pengalaman dalam bidang pembelajaran dan pembangunan organisasi, Ibu Hanim meraih pengiktirafan selaku fasilitator profesional bertauliah yang berperanan menyelesaikan isu kompleks di dalam sesebuah syarikat.
Beliau memiliki kelulusan dalam Master in Business Administration (MBA) in Entrepreneurship dari Australian Institute of Entrepreneurship.
Kemampuan Ibu Hanim bukan sebarangan kerana berdasarkan latar belakang karier terdahulu, beliau satu-satunya Pakar Pembangunan Organisasi dan Pengurusan Perubahan yang berjaya melakukan pelbagai perubahan kepada beberapa anak syarikat PETRONAS.
Usai tamat perkhidmatan di PETRONAS, Ibu Hanim dilantik sebagai Penasihat Pembangunan Kepimpinan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membina kualiti pemimpinnya.
Atas komitmen yang ditunjukkan, beliau menerima pengurniaan darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Sultan Muhammad V, pada tahun 2017.
Enggan berhenti menabur bakti kepada masyarakat dan mahu memartabatkan anak bangsa di persada dunia, Ibu Hanim menubuhkan syarikat organisasi dan kepimpinan miliknya iaitu Annems Leadership Solution (ALS) Sdn Bhd pada 4 Ogos 2015.
Selama tujuh tahun dalam industri, ALS berjaya melahirkan ratusan usahawan berjaya dan berilmu menerusi program Business Sustainability Solution (BSS).