Selain Pudina,Ini Teh Herba Lain Yang Popular & Bagus Untuk Kesihatan!

Share

Sedapnya kalau dapat hirup secawan teh herba, lagi-lagi sewaktu pagi hari atau sewaktu hujan. Memang sangat menyenangkan! Teh herba bukan sahaja menyenangkan dan menghangatkan tubuh badan, malah ia juga mempunyai banyak khasiat yang tersembunyi.

Teh adalah minuman biasa dua pertiga penduduk di dunia. Ia dibuat dari Camellia sinensis, juga dikenal sebagai tanaman teh, yang telah ditanam selama ribuan tahun kerana rasa dan khasiat perubatannya.

Teh herba pula adalah infus yang dibuat dengan pembuatan ramuan, buah kering, daun, bunga, atau tunas dari tanaman selain Camellia sinensis. Berbeza dengan teh biasa, teh herba mempunyai lebih banyak khasiat dan kelebihan. Berikut merupakan beberapa contoh teh herba yang patut anda cuba serta khasiatnya yang tersendiri:

5 jenis teh herba serta khasiatnya yang tersendiri

#1 Teh chamomile – membantu menangani masalah gangguan tidur atau gangguan mental.

Kamomil (chamomile) ialah sejenis herba yang berasal daripada bunga dari keluarga bunga daisi. Ia boleh diekstrak menjadi minyak atau teh yang boleh disapu pada badan serta diminum.

Kelebihan teh herba ini ialah ia dipercayai mempunyai kesan menenangkan. Bahkan, ianya digunakan oleh mereka yang mengalami gangguan tidur dan gangguan mental.

Kajian yang dijalankan ke atas 34 pesakit insomnia mendapati bahawa meminum teh chamomile ini dua kali sehari membantu merawat masalah tidur. Selain itu, teh jenis ini juga mempunyai ciri antibakteria, antivirus, dan anti-radang yang dipercayai dapat melindungi organ hati.

Artikel berkaitan: Kandungan Kalori Mengikut Jenis-Jenis Teh, Tak Semua Boleh Dikategorikan Teh Sihat.

#2. Teh pudina – meningkatkan tahap kesihatan sistem penghadaman dan pencernaan

Teh pudina dibuat dengan mengekstrak daun pudina dan digunakan sebagai salah satu minuman herba yang paling terkenal di dunia. Kandungan antioksidan tumbuhan ini dipercayai dapat meningkatkan sistem penghadaman dan kesihatan pencernaan.

Tambahan itu, menurut kajian makmal yang dijalankan, teh peppermint atau pudina ini dipercayai boleh merehatkan usus serta perut yang mengalami masalah-masalah berkaitan. Kesannya, minuman ini mungkin dapat merawat masalah seperti senak, ketidakhadaman, sakit perut, loya, muntah, dan pedih ulu hati.

#3 Teh bunga raya – mampu melawan virus

Siapa sahaja yang tidak mengenali bunga raya, bunga kebangsaan Malaysia, kan? Bunga raya kebiasaannya menjadi tanaman hiasan yang biasa dilihat di halaman rumah. Namun, anda perlu tahu bahawa bunga raya juga boleh diminum sebagai teh.

Khasiat bunga raya yang dijadikan teh sememangnya menjadi salah satu bentuk olahan yang popular. Sebenarnya bunga raya telah digunakan sebagai tumbuhan herba yang telah wujud sejak ratusan tahun dahulu.

Menurut kajian, ekstrak herba ini mungkin mampu melawan strain virus selesema burung. Namun tahap keberkesanannya masih belum disahkan. Bahkan di negara-negara Afrika pula, ramuan bunga raya ini sering digunakan untuk menurunkan suhu badan semasa demam, merawat penyakit jantung, dan melegakan sakit tekak.

#4 Teh herba Echinacea -menguatkan sistem imun tubuh badan

Echinacea adalah sejenis herba yang juga berasal daripada bunga dan biasa diekstrak menjadi teh untuk diminum bagi mendapatkan manfaat kesihatan tertentu. Ia juga dikenali sebagai “purple coneflower”.

Antara khasiat teh herba ini adalah dikatakan mampu menguatkan sistem imun tubuh badan lantas membantu melawan sebarang jangkitan atau penyakit. Menurut pelbagai kajian, dipercayai bahawa pengambilannya mampu memendekkan tempoh jangkitan penyakit demam atau selesema yang biasa.

Bukan itu sahaja, ia juga dikatakan mampu melegakan sakit tekak serta hidung yang tersumbat dengan hingus. Jadi kalau anda mengalami gejala biasa penyakit demam atau selesema, cepat-cepat la menghirup teh ini ya!

#5 Teh herba Rooibos- bagus untuk pertumbuhan, perkembangan dan ketumpatan tulang.

Rooibos adalah sejenis herba yang berasal dari Afrika Selatan. Ianya biasa digunakan sebagai teh herba untuk menyihatkan badan. Antara kebaikan teh herba ini adalah sangat baik untuk tumbesaran, perkembangan dan ketumpatan tulang.

Menurut kajian, teh herba rooibos boleh merangsang sel-sel yang terlibat dalam proses ketumpatan tulang dalam tubuh manusia. Teh herba rooibos juga dipercayai mampu membantu dalam merawat masalah batu karang dalam buah pinggang, namun ia masih memerlukan kajian lanjut.

Artikel berkaitan: Mampu Kurangkan Berat Badan, Teh Cendawan ‘Mekah’ Boleh Juga Kuatkan Memori. Tapi Kesan Sampingannya Pada…

Sumber: Hello Doktor

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
S.Amira