Fitrah seorang wanita, memang suka pada kecantikan dan sentiasa mahu terlihat sempurna. Selalunya wanita memang sanggup menghabiskan wang semata-mata ingin terlihat cantik.
Tetapi, rata-rata produk kecantikan yang berada di pasaran juga memakan belanja yang besar. Bayangkan jika anda sudah berhabisan duit untuk mendapat kulit yang licin, tetapi tiba-tiba kulit mengelupas, memang terus potong ‘mood’. Nak bersolek pun akan terlihat ‘cakey’ dan ‘crack’. Ah, tidak!
Apa itu kulit mengelupas?
Pengelupasan kulit merupakan perkara biasa yang terjadi di mana-mana bahagian kulit tubuh badan termasuk pada bahagian wajah. Secara saintifiknya, kulit mengelupas dikenali sebagai “desquamation,” yang bermaksud kehilangan lapisan luar kulit.
Kalau kulit pada bahagian wajah yang mengelupas, seakan terkopek atau tertanggal memang boleh hilang keyakinan diri! Selain itu, pengelupasan yang juga disebut sebagai ‘facial skin peeling’ ini boleh mendatangkan kesan buruk lain seperti kemerahan, kegatalan, kesakitan dan keradangan. Jadi, apakah punca kulit muka mengelupas?
Artikel berkaitan: Tren K-Beauty Guna Sperma Salmon Untuk Kulit Cantik? Kim Go-Eun Turut Pakai Produk Ini
Punca masalah kulit muka mengelupas
Ramai yang menganggap masalah kulit muka mengelupas ini terjadi disebabkan kulit yang kering atau tidak lembap, tetapi sebenarnya ada banyak faktor lain. Berikut Hijabista senaraikan beberapa punca mengapa kulit anda mengelupas:
#1 Penggunaan produk yang salah
Perkara paling penting dalam pemilihan produk adalah mengelakkan bahan yang mengandungi merkuri, tretinoin dan hydroquinone. Bahan-bahan ini sangat berbahaya dan dilarang kerana mendatangkan pelbagai kesan buruk seperti kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, kulit pedih, ruam serta meningkatkan risiko kanser kulit.
Jika kulit muka anda sensitif dan mudah berjerawat, pastikan untuk pilih produk yang bersesuaian. Produk seperti losyen, moisturizer, toner atau lain-lain haruslah dipilih dengan berhati-hati. Ini kerana, kalau anda memilih produk yang salah, kulit muka anda akan mengelupas disebabkan mengandungi bahan yang tidak bersesuain untuk kulit sensitif seperti asid salisilik, benzoil peroksida, sulfonamida serta macam-macam lagi.
#2 Pendedahan sinar matahari yang berlebihan
Selain itu, kulit mengelupas juga disebabkan selar matahari iaitu sunburn. Di antara kesan fizikal yang paling sering dikaitkan dengan selar matahari adalah gatal-gatal, sakit, melepuh, bengkak, dan mengelupas.
Sel-sel kulit asli akan terbunuh disebabkan terdedah kepada sinar matahari yang berlebihan. Selepas sel kulit asli mati, ia akan digantikan dengan sel kulit yang baharu. Disebabkan itu, proses pengelupasan kulit wajah akan terjadi secara semula jadi. Oleh itu, pastikan anda memakai pelindung matahari seperti sunscreen atau sunblock yang mencukupi!
#3 Masalah kulit kering
Yang ketiga adalah tidak lain tidak bukan disebabkan oleh kulit wajah yang terlalu kering. Kekeringan pada kulit mengakibatkan sel-sel tidak mampu untuk melekat di antara satu sama lain. Seterusnya, ia akan menyebabkan pengelupasan kepada jaringan kulit asal.
Secara ringkasnya, kulit wajah kering dan mengelupas disebabkan kurangnya kelembapan pada wajah. Hal ini sering terjadi disebabkan beberapa faktor seperti cuaca yang terlalu sejuk. Contohnya, apabila anda pergi bercuti ke negara yang mempunyai iklim sejuk ataupun akibat duduk terlalu lama di bawah pendingin hawa (aircond).
Suhu pendingin hawa yang rendah boleh membuatkan kulit kering dan mengelupas serta menyerap lembapan dari udara di sekeliling lalu menyebabkan kulit anda menjadi kering dan tidak bermaya. Dalam masa yang sama, udara yang kering juga membuatkan mata mudah gatal dan merah-merah.
#4 Hipotiroidisme
Hipotiroidisme terjadi apabila anda mempunyai tiroid yang kurang aktif. Tiroid adalah kelenjar endokrin kecil berbentuk rama-rama di bahagian depan tekak anda, yang membantu mengawal proses metabolik, kardiovaskular, dan perkembangan tubuh badan anda.
Salah satu tanda-tanda penyakit ini adalah apabila kulit anda mula mengering lalu mengelupas disebabkan ketiadaan hormon tiroid yang sangat penting bagi proses pembentukan dan penggantian sel kulit baharu.
#5 Alergi, Ekzema dan Rosacea
Selain faktor diatas, terdapat beberapa faktor lain yang turut menjadi faktor kulit wajah mengelupas seperti:
- Alergi– Alergi adalah tindak balas berlebihan sistem imun terhadap bahan asing yang dianggap berbahaya. Untuk pengetahuan hijabi; selain produk, alahan kepada bahan seperti besi, logam dan plastik juga boleh menyebabkan masalah pengelupasan kulit.
- Ekzema – Ekzema adalah sejenia simptom keradangan dan kegatalan kulit. Jika anda penghidap ekzema, kulit anda akan senang mengelupas, merah, gatal, dan mengeluarkan nanah atau cecair
- Rosacea – Rosacea adalah satu penyakit kulit muka, individu yang menghidapi rosacea selalunya akan mempunyai kulit merah yang disertai dengan tompok-tompok seperti jerawat. Dalam keadaan ini, hipersensitiviti yang berlebihan menyebabkan kulit menjadi mengelupas, merah, gatal, dan berbenjol.
Itulah di antara punca pengelupasan kulit pada wajah. Namun, sekiranya kulit anda mengelupas dan mengalami simptom teruk, jangan lupa untuk rujuk atau meminta pendapat dan rawatan daripada pakar dermatologi!
Artikel berkaitan: Ingin Kelihatan Awet Muda Seperti Rakan Sebaya? Ini Essence Terbaik Kunci Kecantikan Wanita Korea Sesuai Untuk Hijabi Asia.
Sumber info dan gambar: Hello Doktor dan Google
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI