Selain Kertas Pasir, Ini 5 Cara Hilangkan Kesan Hitam Yang Melekat Pada Seterika Lama!

Share

Cuba hijabi sekalian lihat tapak seterika di rumah anda, adakah ia masih berkilat ataupun sudah hitam? Kalau ada kesan hitam, memang terus hilang ‘mood’ lagi-lagi apabila tengah kelam kabut nak keluar!

Pernah tak, sedang anda nak cepat mengejar masa, ketika itulah baju terbakar terkena seterika? Belum cukup stress kerana terlewat dan baju koyak, ada pula tompokan hitam pada peralatan elektrik itu.

Tak perlu membazir duit untuk membeli seterika baru…Anda boleh cuba bersihkan dulu saki-baki lapisan kehitaman yang melekat pada seterika anda. Mana tahu, seterika anda masih elok dan boleh berfungsi dengan baik. Bahkan, licin berkilat seperti baru!

Artikel berkaitan: Tudung Terkoyak Dan Kotor Akibat Seterika Wap Kotor Dan Berlumut! Ini Cara Hijabi Bersihkan

Cara hilangkan kesan hitam pada seterika lama di rumah

Ada beberapa cara ‘bersihkan’ kembali seterika yang boleh anda lakukan sendiri di rumah dengan menggunakan bahan yang mudah. Berikut hijabista kongsikan kaedah yang membantu hilangkan kesan hitam seterika anda!

#1 Soda Bikarbonat / Baking Soda

Kaedah pertama, anda boleh gunakan baking soda atau soda bikarbonat yang biasa digunakan untuk buat kek. Selain digunakan untuk membuat kek, soda bikarbonat memang terkenal sebagai agen pencuci yang berkesan. 

Caranya ialah:

  • Ambil beberapa helai kain lembap dan letakkan span di atasnya.
  • Kemudian, hidupkan seterika dan taburkan serbuk baking soda di atas permukaan seterika.
  • Gosok baking soda tersebut dengan menggunakan kain dan span yang disediakan tadi. Sila berhati-hati kerana seterika mungkin boleh memanaskan kain yang anda pegang.
  • Setelah itu, tutup suis seterika dan tunggu sehingga ia sejuk sebentar.
  • Ambil sehelai kain bersih dan lap kotoran yang telah tertanggal pada permukaan seterika.

#2 Kertas pasir

Sumber gambar dari SirapLimau

Selain itu, anda juga boleh menggunakan kertas pasir untuk menghilangkan kesan hitam di seterika. Caranya juga amat mudah. 

Anda hanya perlu memanaskan seterika dan terus gosok permukaannya dengan kertas pasir. Seeloknya gosok menggunakan bahagian yang kasar dulu, kemudian barulah bertukar kepada kertas pasir yang lebih halus dan nipis. Gosokkan hingga permukaan seterika menjadi bersih. Jangan lupa untuk alas kertas pasir dengan kain atau span terlebih dahulu bagi mengelakkan daripada melecur.

#3 Ubat gigi

Siapa sangka ubat gigi membantu hilangkan kesan hitam di seterika kan? Bahkan, caranya juga sangat mudah dan tak perlu untuk panaskan seterika!

Caranya, anda perlu gunakan ubat gigi dan sapukan pada bahagian yang ada kesan hitam tersebut. Biarkan seketika kemudian sental dengan kain. Kesan kotoran akan tanggal dengan mudah. Ulangkan beberapa kali atau sehingga ianya betul-betul bersih. Anda boleh membuat langkah ini beberapa kali untuk mendapatkan hasil yang lebih memuaskan dan berkesan.

#4 Span magik

Buat anda yang sering berkunjung di kedai Eco atau kedai DIY, mesti anda perasan kan ada dijual span magik ataupun magic sponge ini. Ianya memang berguna sebab boleh bersihkan macam-macam kesan kotoran termasuklah kesan hitam yang melekat pada seterika.

Caranya amat mudah, basahkan dulu span tersebut, sapukan sedikit sahaja krim pencuci pinggan pada span dan gosok tapak seterika anda sehingga warna hitam tersebut hilang. Kaedah ini memang ambil masa sedikit, tapi hasilnya sangat memuaskan. Anda boleh mencari span ini di kedai-kedai serbaneka berdekatan rumah anda ataupun beli online contohnya di Lazada atau Shopee. Sekarang semuanya di hujung jari!

#5 Garam

Bahan yang paling senang untuk bersihkan seterika adalah dengan menggunakan garam. Siapa sahaja yang tidak mempunyai garam di dapur rumah kan. Caranya juga sangat mudah dan anda hanya memerlukan sekitar segenggam garam dan kerajang aluminium (aluminium foil). 

Mula-mula, taburkan garam di atas aluminium foil dan kemudian panaskan seterika menggunakan suhu yang paling maksimum. Setelah itu, gosokkan seterika pada garam di atas kerajang aluminium tadi. Lakukan langkah ini beberapa kali sehingga kesan hitam mula menghilang. Jika tiada aluminium foil, anda boleh juga menggunakan surat khabar.

#6 Lilin

Lilin juga boleh membantu menghapuskan kesan hitam yang ada pada seterika lama di rumah. Caranya lebih kurang sama sahaja.

Gunakan sebatang lilin dan gosok pada seterika yang dah dipanaskan hingga lilin menjadi cair. Selepas itu, tonyohkan permukaan seterika pada kain buruk atau kain yang tak digunakan lagi. Setelah itu, kain yang sudah melekat dengan lilin tersebut tidak boleh digunakan lagi dan seharusnya dibuang sahaja. Pasti permukaan seterika anda akan kembali licin!

Artikel berkaitan: Cara Lain Hilangkan Kedut Baju & Tudung Tanpa Seterika, Hanya Guna Periuk Rebus, Cuka & Tilam.

Berikut adalah kaedah-kaedah yang Hijabista sarankan untuk anda cuba dirumah. Jadi sebelum anda membelanjakan duit untuk membeli seterika baru, cubalah teknik ini untuk membersihkan kesan hitam pada seterika. Seterika anda juga akan lebih cantik, bersih, berkilat dan tampak seperti seterika baharu. Selamat mencuba!

Sumber info dan gambar: Hellodoktor dan Google

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

Published by
S.Amira