Selain bekas juara Dewi Remaja Haneesya Hanee yang ditarik balik gelaran berkenaan dan dikenakan tindakan oleh pemilik jenamanya, dua orang lagi bekas dewi juga turut menerima nasib sama. Salah seorang darinya adalah Ernisha atau nama sebenarnya Erni Nurshahira Khairul Zaman, 23 tahun yang merupakan salah seorang peserta berhijab.
Menyedari tindakan dilakukan memalukan dirinya serta jenama Dewi Remaja itu sendiri, telah diadakan sidang media khas bertujuan untuk memberitahu hal sebenar. Ernisha dalam sidang media itu mengakui dirinya bersalah dan memohon maaf serta mahu dirinya diberi peluang kedua.
“Di sini saya ingin memohon maaf kerana saya akui perbuatan melanggar kontrak itu adalah kesalahan saya. Saya berharap dengan pengakuan ini, isu ini tidak akan dipanjangkan.
“Kami pun tidak mahu fikirkan mengenai apa-apa pertuduhan yang saya muat naik sebelum ini. Past is past, saya hanya ingin fikir secara positif. Mungkin ada hikmah kejadian ini berlaku,” kata Ernisha.
Dalam pada itu ketika dihubungi sebelum ini, Ernisha mengakui berdepan saat sukar apabila kontroversi membabitkan dirinya itu, sementelah dia adalah peserta berhijab. Namun itu bukanlah dijadikan alasan untuk Ernisha membuka hijabnya.
“Saya akui sebelum ini saya memang on and off berhijab. Malah iman jadi goyang kerana walaupun saya berhijab tetap kena kecam hingga saya tertanya-tanya betul ke keputusan saya untuk berhijab sebelum ini.
“Namun buat masa ini (lepas kejadian) saya mahu muhasabah diri dulu, minta petunjuk dari Tuhan dan biar Dia yang tentukan jalan apa patut saya pilih. Doakan saya terus kekal berhijab dan dapat memperbaiki segala kesilapan dilakukan,” ujarnya yang mengakui apa dilakukan sebelum ini adalah kesilapan besar.
Menurutnya dia memang salah pergi dan bergaul dengan orang yang tidak sepatutnya. Malah turut menyesal dengan perbuatan dilakukannya itu.
Akibatnya dia mendapat pembalasan dari Allah apabila aibnya disebarkan supaya dia akan kembali ke pangkal jalan yang betul.
Walau bagaimanapun saat berdepan kontroversi ini Ernisha turut bersyukur kerana keluarganya cukup memahami dan memberi sokongan padu.
“Mula-mula keluarga memang terkejut, malah terkilan dengan sikap saya memandangkan saya adalah anak sulung mereka. Mereka Tak sangka sikap saya jadi begini tetapi akhirnya keluarga boleh terima saya seadanya.
“Keluarga maafkan perbuatan saya dan minta saya perbaiki diri, berdoa dan banyakkan bersabar. Kekuatan saya untuk menghadapi semua kontroversi adalah sokongan keluarga dan kawan-kawan yang tidak putus-putus bagi semangat.
“Malah ada antaranya yang saya tak kenal, mereka ini secara personal mesej dan jumpa serta beri kata-kata motivasi supaya saya berubah dan bertaubat,” akui Ernisha yang turut terkejut dengan sokongan yang diterimanya ini.
Malah menurutnya ada antara insan yang tidak dikenali turut memberi sokongan dan berikan nasihat supaya saya berubah.
“Mereka ini (insan tidak dikenali) yang dulunya juga jahil, tetapi kini sudah berubah memakai tudung litup datang bagi nasihat. Golongan ini faham jiwa dan darah muda yang mahu mencuba benda baru.
“Mereka ini faham situasi ini dan beri nasihat. Ini kerana mereka juga pernah lalui benda yang sama. Tetapi kini mereka sudah berubah dan jadi insan yang lebih baik.
“Kedatangan mereka diterima dengan hati terbuka dan niat mereka untuk melihat saya berubah cukup dihargai,” tambahnya yang turut belajar sesuatu dari kesilapannya.
Walaupun begitu, Ernisha tidak akan mengalah dan putus asa untuk terus berada dalam industri hiburan ini. Namun buat masa ini dia akan melalui tempoh bertenang.
“Saya akan kembali semula nanti. Tetapi dalam tempoh itu saya akan isikan diri ini dengan pelbagai ilmu seperti bidang lakonan, pengacaraan atau nyanyian sebelum mula bertapak kembali.
“Doakan saya agar terus kuat menghadapi segala dugaan ini. Satu pengajaran yang saya dapat dari insiden ini adalah jangan terlalu mudah mempercayai orang lain walaupun sahabat baik kita sendiri.
“Orang yang paling rapat itulah yang tahu baik buruknya diri kita sebenar. Insya-Allah saya akan ingat apa yang terjadi dan tidak akan mengulangi kesilapan yang sama,” akhirinya.
Faizni Fazreen Fazera binti Faizul, 20 dan Erni Nurshahira binti Khairul Zaman, 23 tampil untuk berjumpa dengan pihak Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan Majalah Remaja bagi kes yang melibatkan mereka.
Atas kesalahan melanggar kontrak yang telah mereka baca dan persetujui sebelum menyertai pencarian Dewi Remaja 2018/2019, gelaran finalis Dewi Remaja milik mereka terpaksa ditarik balik.
Di dalam kontrak tersebut, telah termaktub di bawah satu seksyen ‘Standard Terms and Conditions’ yang melarang para peserta daripada berkelakuan kurang sopan, tidak senonoh atau melakukan apa jua perbuatan dan membuat kenyataan yang boleh menjejaskan kredibiliti dan reputasi penganjur dan pemilik jenama iaitu Nu Ideaktiv Sdn Bhd dan yang reputasi para peserta sendiri. – REMAJA