Berita kemalangan yang melibatkan empat sekeluarga yang terkorban dalam nahas jalan raya yang membabitkan tujuh buah kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Perak, semalam, begitu meruntun jiwa.
Kemalangan di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan dekat Ipoh itu membabitkan enam kereta dan sebuah treler dan empat mangsa tersebut dilaporkan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan anggota bomba serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Hanya dengan sekelip mata, dua beradik, seorang lelaki dan seorang perempuan yang merupakan waris mangsa yang terkorban kehilangan kedua ibu bapa dan saudara kandung.
Jenazah pesara polis Rahim Ramli, 60, dan isterinya Siti Petimah Omar, 59, serta dua anak perempuan mereka Nor Hadirah, 28, dan Nor Hamizah, 27, tiba di Masjid Tuan Haji Abdul Latiff, Permatang Pasir kira-kira 1.30 pagi, selepas selesai menjalani proses bedah siasat di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.
Ratusan ahli keluarga dan rakan-rakan hadir sejak pukul 11 malam tadi bagi memberi penghormatan terakhir dan menanti urusan pengebumian empat jenazah tersebut yang dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan masjid itu kira-kira pukul 3 pagi.
Anak lelaki tunggal pasangan itu Muhamad Hazman Rahim, 20, berkata beliau masih terkejut dan sedih kerana bukan sahaja menjadi anak yatim piatu sekelip mata, namun turut kehilangan dua kakak kesayangan.
Katanya beliau hanya mengetahui mengenai kemalangan maut membabitkan empat ahli keluarganya itu selepas dimaklumkan oleh seorang lagi kakaknya Nor Fatini, 22.
“Sekali ‘pi’ (meninggal dunia) sampai empat (orang), bukan satu, bukan dua dan bukan tiga. Saya memang betul-betul sedihlah kerana empat ahli keluarga meninggal sekelip mata macam tu (kemalangan).
“Waktu kakak telefon cakap ayah dan mak dah meninggal, saya memang terkejut sebab semalam (Isnin) saya balik jumpa (mereka), cium tangan apa semua. Tengok-tengok hari ini (petang semalam) tak ada dah,” katanya kepada pemberita selepas selesai pengebumian.
Muhamad Hazman berkata beliau kini sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat di Perlis memang mengetahui ibu dan ayah serta dua kakaknya dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghantar Nor Hadirah yang bekerja di sana.
“Saya dah tahu yang mereka semua akan ke Kuala Lumpur untuk menghantar kakak (Nor Hadirah) ke tempat kerjanya setelah lama bercuti dan saya pun macam biasa akan cium tangan mak ayah sebelum balik semula ke Perlis, dalam masa sama saya maklumkan akan pulang ke rumah apabila saya cuti.
“Apabila jadi macam ini (kehilangan empat ahli keluarga serentak), saya sedih tak tahu nak cakap macam manalah. Tinggal saya dengan seorang lagi kakak (Nor Fatini),” katanya yang beberapa kali menahan sebak dan menangis.
Muhamad Hazman yang pada mulanya kelihatan dapat mengawal emosi, ‘tewas’ apabila jenazah ahli keluarganya dibawa masuk satu-persatu ke dalam masjid untuk diberikan penghormatan terakhir.
Manakala Nor Fatini yang sejak awal dilihat sangat sedih sering menyeka air matanya sambil ditemani saudara mereka.
Pengebumian empat beranak itu berlangsung dalam hujan renyai dan diselubungi suasana hiba apabila ramai saudara, kenalan serta penduduk setempat turut menghadiri upacara berkenaan.
Jenazah empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan itu telah selamat dikebumikan di Permatang Pasir, Permatang Pauh awal pagi ini.
Sumber kredit: BERNAMA Sumber gambar: BERNAMA
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.