“Sedangkan Nabi Nuh Pun Tak Dapat Selamatkan Anaknya”- Ridhuan Tee Ulas Isu Video Syafi Tee

Share
Baru-baru ini, pelakon Syafi Tee telah terpalit dengan sebuah kontroversi apabila sebuah video mirip wajahnya dikatakan bercumbu tersebar di media sosial.
Turut terkena tempias daripada isu ini adalah ayahnya sendiri iaitu seorang pendakwah terkenal, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Tidak berdiam diri, beliau tampil memberikan maklum balas mengenai isu tersebut bagi menjawab persoalan semua.
“Sehari dua ini heboh dan viral habis cerita anak saya dan dibabitkan dengan saya. Maaf, atas kesibukan tugas seharian. Saya tidak dapat memberikan kenyataan dengan pantas. Saya bersyukur dan berterima kasih kerana ramai yang mengambil berat.
“Ramai yang sayang saya dan keluarga saya. Kepada yang bersama saya, memberikan nasihat, menegur cara baik, moga Allah merahmatimu. Kepada yang bertepuk tangan dan bergembira, terima kasih juga seadanya.
“Apa yang berlaku, tidak akan menghalang saya untuk meneruskan kehidupan ini. Saya akan terus melaksanakan kewajipan saya sebagai seorang Muslim, menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar, sama ada secara lisan mahupun tulisan, meskipun ia berlaku kepada anak sendiri.
“Umat Islam hari ini terutama anak-anak Melayu Islam kita perlu diselamatkan walaupun yang terpaksa diselamatkan itu anak sendiri. Ini suatu ujian daripada Yang Maha Esa dan Maha Pencipta. Ujian ini akan terus mematangkan kita.
kredit: The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli
“Benar sekali, iman tidak dapat diwarisi. Tidak dapat dijual beli. Moga semua ini tidak terjadi kepada kalian semua. Ya, saya akui saya ada kelemahan. Saya tidak sempurna. Sedangkan Nabi Nuh pun tidak mampu untuk menyelamatkan anaknya, inilah pula diri saya, hamba Allah yang hina-dina ini.
“Saya sudah melakukan yang terbaik untuk semua anak saya seramai enam orang. Begitu juga saudara mara saya. Selebihnya saya berserah dan pasrah. Saya juga menceburi bidang seni sejak memeluk Islam lebih 30 tahun lalu. Cuma bezanya seni saya adalah seni artis ilmuan, manakala anak memilih seni hiburan.
“Ujian datang dan pergi. Semakin kita diuji, kita menjadi semakin kuat, bukan semakin lemah. Jangan kerana ujian ini, menjadikan kita kecewa dan alpa akan tanggungjawab kita sebenarnya,” jelas beliau.
Ridhuan juga memaklumkan bahawa dia akan terus bersuara bagi menjalankan tugas menegur pihak yang melakukan kesalahan walaupun anaknya itu terlibat dengan kontroversi panas.
Beliau juga bersyukur dan mengucapkan terima kasih kerana semua yang mengambil berat mengenai dirinya serta anaknya selain berharap ujian yang menimpanya juga menjadi pengajaran buat semua pihak.
Published by
QIST