Setiap kali hujan lebat muncul, hati pasti dirundung bimbang kerana memikirkan masalah banjir yang mungkin datang. Malang memang tak berbau, warga Selangor dan Kuala Lumpur tidak pernah menjangkakan banjir akan melanda. Apa paling dirisaukan bukan saja masalah kesesakan teruk, tetapi juga risiko kenderaan anda mungkin ditenggelami banjir.
Kalau kereta sudah dimasuki air sampai ke dalam ruang kabin, apa boleh buat. Terpaksalah pasrah. Namun, ada beberapa ikhtiar yang boleh dilakukan dengan harapan kereta anda masih dapat dipulihkan dan beroperasi seperti sedia kala. 9 tips ini dapat membantu anda yang dilanda banjir sebelum isytihar ‘total loss’:
1. Hubungi syarikat insurans
Penting pastikan insurans kereta sentiasa tidak tamat tempoh, perkara pertama harus dibuat, hubungi syarikat insurans. Ada insurans menawarkan perlindungan banjir dalam pakej komprehensif, tetapi ada yang mengenakan caj tambahan berasingan. Apapun, sila tanya pegawai khidmat pelanggan insurans anda. Sekiranya tiada, anda masih ada peluang meminta khidmat menunda kereta anda ke bengkel. Ini servis standard yang biasa ditawarkan semua syarikat insurans, tetapi berbeza mengikut jarak tundaan dibuat.
2. Jangan hidupkan enjin
Tangan jangan gatal nak tekan ‘start button’! Antara kesilapan besar dilakukan pemandu adalah cuba menghidupkan enjin dengan memulas kunci kereta sebaik saja selepas banjir reda. Cubaan ini sebenarnya berisiko menyebabkan kerosakan lebih teruk yang menelan kos baik pulih lebih mahal. Ikut langkah-langkah betul di bawah.
3. Kenal pasti kedalaman kereta tenggelam
Selepas banjir surut, lumpur dan selut akan meninggalkan garis air pada bahagian luaran dan dalaman kereta. Syarikat insurans akan menilai tahap kerosakan berdasarkan paras air yang menenggelamkan kereta anda. Kos baik pulih akan lebih tinggi jika kereta ditenggelami air hingga melepasi aras papan pemuka. Jika air cuma naik terlalu tinggi melepas pintu, kereta anda biasanya masih selamat untuk dibaik pulih. Masa ni hanya mampu berdoa!
4. Keringkan kabin kereta
Garis lumpur dan selut hanya berguna untuk menilai tahap kenderaan ditenggelami air. Namun, anda tidak tahu seberapa banyak air yang masih ada dalam kereta. Jadi, pintu dan tingkap perlu dibuka, serta letakkan tuala atas lantai untuk mengesan sebarang kehadiran air dalam kabin.
Ini juga membantu anda menggantikan barangan yang terjejas akibat banjir seperti karpet lantai, panel pintu dan pelapik kerusi. Ingat, kerosakan itu mungkin turut dilindungi polisi insurans komprehensif anda.
5. Periksa minyak dan penapis udara
Jika nampak titis air pada dipstik (atau tolok minyak) atau paras minyak enjin tinggi, atau terdapat air dalam penapis udara, jangan sesekali cuba menghidupkan enjin. Terus tunda kereta ke bengkel untuk menyingkirkan air dan menukar minyak enjin, termasuk bendalir lain. Jika mahir, boleh cuba tukar minyak enjin dan penapis udara sendiri tetapi pastikan semua komponen enjin kering.
6. Periksa semua bendalir
Sistem bahan api pada model kereta baharu biasanya ditutup rapi, tetapi komponen itu pada model lama mungkin perlu dikeringkan. Brek, klac, stereng kuasa dan tangki pendingin (coolant) perlu diperiksa supaya tiada pencemaran. Sekali lagi, tugas memeriksa ini sepatutnya dilakukan mekanik bertauliah. Lebih baik jika kereta ditunda ke pusat servis rasmi untuk dilakukan diagnosis menyeluruh.
7. Periksa semua sistem elektrik
Periksa semua sistem elektrikal, dengan pulas kunci pencucuh atau cara lain untuk menghidupkan kereta. Periksa setiap komponen elektrik satu persatu daripada lampu depan, signal belok, penyaman udara, stereo, kunci kuasa, tingkap dan kerusi juga lampu kabin. Jika anda perasan sebarang kekurangan seperti kelancaran enjin dan anjakan gear, itu mungkin menandakan berlaku masalah elektrikal. Segera hantar ke mekanik!
8. Periksa roda dan tayar
Sebelum memandu, cari kesan lumpur dan selut yang mungkin terkumpul sekitar roda, brek dan bawah kereta. Malah, kesan lumpur yang sudah mengeras, atau ranting kecil boleh menyebabkan kereta bergegar ketika memecut. Jika perlu, ambil penyembur bertekanan tinggi dan cucilah sekitar rim dengan berhati-hati.
9. Isytihar ‘total loss’ kalau tidak yakin mampu baik pulih kereta
Kereta ditenggelami banjir boleh mengalami masalah berbulan atau bertahun lama selepas kejadian. Jika yakin bengkel tidak dapat membaik pulih sebaiknya, mungkin boleh meminta syarikat insurans menimbang untuk mengisytiharkan kereta anda sebagai rugi penuh (total loss). Selain memerlukan kos baik pulih tersembunyi yang tinggi, pengisytiharan total loss mungkin dapat menyelamatkan anda daripada sakit kepala.
SUMBER: Pandulaju.com
Untuk tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi hijabista. Klik di sini.
Bulan ini, Hijabista menghasilkan Majalah Hijabista Edisi Jawi menampilkan Nur Fazura sebagai penghias wajah hadapan. Menariknya, dengan setiap pembelian para pembeli akan menerima dua helai tudung istimewa.
Majalah ini boleh dibeli di laman Shopee Karangkraf Mall Official Store dengan harga RM29.90 sahaja. Berbaloi-baloi, beli majalah dapat pula dua tudung istimewa. Boleh dibeli di sini: Shoppe.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI