“Saya Tetap Ada Perasaan Takut Dan Berdebar Kerana Banyak Kisah Selebriti Yang Membuka Tudung Tetapi Saya Belasah Sahaja”. Sarancak

Share

Coletahnya biasa kita dengar dan lihat di media sosial. Malah ada sahaja informasi berguna di sampaikan kepada pendengar. Mengenali dengan lebih dekat hos televisyen dan platform digital di stesen Media Prima ini nyata dapat membayangkan dirinya seorang yang happy go lucky.

Tidak susah untuk mendapatkan slot temubual dengan Sarancak memandangkan tidak bertindih dengan jadual tugasannya. Biarpun ada sedikit masalah sebelum penggambaran, namun Sarancak tetap tenang dan akhirnya berjaya melaksanakan sesi fotografi ini.

Siapa sebenarnya Sarancak?

Nama saya Sara Zulkifli tetapi lebih dikenali sebagai Sarancak dan tahun ini saya berusia 28 tahun (2018). Saya bekerja sebagai hos televisyen dan hos digital. Seorang yang tidak reti untuk duduk diam. Sebenarnya sewaktu di sekolah dulu orang kata asyik ‘rancak’. Selepas itu, ada trend di mana kita menggabungkan nama kita dengan cinta hati. Tetapi disebabkan saya tidak tahu untuk gabungkan nama dengan siapa jadi kita gabunglah nama sendiri hinggakan tanda nama pun saya buat sendiri nama ‘SARANCAK’. Nasib baiklah cikgu tidak marah dan nama itulah yang dibawa hingga sekarang.

Dunia Digital Permulaan Dalam Bidang Hiburan

Saya sebenarnya mempunya ijazah Sarjana Muda dalam Zoologi dari Universiti Sains Malaysia (USM). Banyak sangat perkara yang saya minat dan ingin saya lakukan. Saya mahu kerja di zoo, jadi pelakon, bomba dan lain-lain lagi. Semualah saya mahu. Jadi selepas saya belajar bidang Sains, saya rasa apa kata kita cuba dulu bidang hiburan? Kalau ada rezeki adalah, kalau tiada kita boleh kerja di Zoo yang lebih kepada soal penjagaan haiwan.

Waktu mula-mula saya menghadiri uji bakat sebagai hos dalam Projek 3R di USM, saya hampir menarik diri. Tetapi rakan sebilik saya tetap memaksa saya meneruskan langkah dan menemani saya. Di situlah segalanya bermula. Saya berjaya masuk dalam rancangan itu sehingga peringkat final.

Selepas tamatnya program itu, saya ada juga terlibat dalam iklan komersial sebelum menyertai Hot FM Zoomers. Dari situlah saya diambil menjadi hos digital. Pada waktu itu, dunia digital masih baru, masih bereksperimen dan tidaklah seperti sekarang.

Dunia digital kemudiannya terus meningkat naik dan alhamdulillah rezeki saya di situ. Saya juga turut menjadi penerbit dan juga pengarah untuk program digital saya.

Takut Apabila Perubahan Saya Begitu Mendadak

Dari dahulu saya memang tidak berhijab hinggalah lama kelamaan saya merasakan tiada apa lagi yang saya hendak buat sebagai remaja. Saya merasakan mungkin ini masanya untuk berhijab. Tetapi saya tetap ada perasaan takut dan berdebar kerana banyak kisah artis yang membuka tudung. Jadi bagi saya kita ‘belasah’ sahajalah!

Bermula pada raya dua tahun lepas, saya mula memakai selendang sewaktu berada di konti. Waktu itu memang tidak ramai yang bekerja kerana semuanya masih bercuti jadi saya mencuba seorang kerana tidak mahu orang tahu lagi. Saya cuba berhijab untuk seminggu. Saya fikir, tidak mengapa kalau rasa tidak selesa, nanti boleh buka dan kalau masih ada rasa hendak tutup kepala, pakailah semula.

Selepas itu, apabila saya cuba untuk tidak bertudung sewaktu berjalan keluar, saya rasa pelik. Alhamdulillah, jadi saya rasa memang sudah sampai waktunya untuk bertudung.

Saya tidak mahu mulakan penghijrahan ini terlalu ketara dengan bertutup litup kerana takut apabila perubahan saya begitu mendadak, nanti hal itu akan berbalik kepada saya. Bimbang nanti akan ada kisah yang mengejutkan rakyat Malaysia!

Saya cuba dengan stail ringkas dan longgar dahulu dengan memakai selendang. Pada awalnya memang kena kecam kerana netizen mengatakan gaya saya itu masih nampak leher. Akan tetapi saya fikir tidak mengapa yang penting saya selesa dan tindakan ini bukan untuk orang lain. Ramai yang mengecam di Instagram, sama ada di akaun saya mahupun Hot FM, di Facebook dan juga YouTube.

Berdepan Dengan Kecaman

Kalau yang mengecam itu hanya sekadar mengecam saya maka saya boleh menutup mata sebab bukan mereka yang bayar bil-bil saya dan memberikan kerja. Tetapi, apabila ada yang mengecam menggunakan perkataan yang kasar seperti ‘betina’, saya akui ia agak terkesan di hati. Tipulah kalau tidak kan?

Idea Saya Hasilkan Karya Biar Relevan Dengan Masyarakat

Susah untuk menjangka kehendak masyarakan tentang kandungan digital.Contohnya, jika kita dapat satu idea mengenai cinta pada awalnya mungkin okay tapi lama kelamaan mereka sudah tidak mahu kerana trend itu sudah berlalu.

Jadi saya harus fikirkan lagi. Memang susah. Dahulunya, pada awal tiga bulan pertama sahaja idea saya bagai mencurah-curah selepas itu ‘kering’. Oleh itu, saya mencari idea dengan membuat kajian menonton video dari luar negara. Boleh ambil idea mereka dengan syarat kita tukar sedikit supaya ia relevan dengan masyarakat kita.

Jika masih tiada idea, saya akan pusing satu pejabat dan berborak dengan rakan sekerja. Saya akan berkongsikan video dengan mereka. Saya tidak mahu mendengar pujian daripada mereka sebaliknya mahu dengar dari sisi yang berbeza supaya saya boleh membaiki dari sudut itu.

Boleh dikatakanlah saya ini seorang yang workaholic. Saya bersyukur tawaran itu sentiasa ada. Cuma yang peliknya, apabila seharian sudah bekerja saya mahukan cuti, tetapi apabila sudah bercuti dua hari, saya rasa bosan pula dan mahu kembali bekerja.

Saya Letakkan Bakat Saya Lebih Besar Daripada Saiz Badan

Pernah kerana dalam industri ini mereka mahukan orang yang cantik, kurus, seksi dan mempunyai figura yang ideal di mata rakyat Malaysia. Mereka akan mengatakan, ‘kenapa ambil dia ni, sudahlah gemuk, tidak cantik, tidak senonoh pula mulut dia!’

Tetapi, saya selalu fikir bahawa peratus yang benci itu lebih sedikit daripada mereka yang sukakan kita. Saya selalu letakkan yang bakat saya itu lebih besar daripada saiz badan saya. Tidak perlu untuk menyorok.

Sememangnya ramai pelajar sekolah yang bertanya saya di Instagram bagaimana untuk mendapatkan keyakinan diri. Perkara sebeginilah yang membuatkan saya untuk terus melangkah. Ada di antara mereka yang rasa tidak cantik lalu memuat naik gambar sambil menutup muka.

Mereka tidak sepatutnya rasa begitu kerana usia mereka masih muda. Kalau begitu pun mereka sudah rasa tidak yakin, bagaimana di masa akan datang nanti? Dari situlah datangnya rasa tanggungjawab saya untuk menolong mereka. Tidak semestinya gemuk itu hodoh. Jika ada bakat tunjukkanlah pada semua.

Ini Perkara Yang Orang Tidak Tahu Mengenai Sara

Garang. Benci tikus. Kalau belakang kamera saya bukanlah bising 24 jam. Saya tidak pandai untuk berfesyen dan yang terakhir saya seorang yang sangat mementingkan keluarga.

Fesyen pilihan Sara

Saya sukakan stail dan gaya seperti Kaka Azraff dan Scha Alyahya. Mereka pandai suai padan dan bermain dengan warna. Saya suka bila sesuatu fesyen itu pelik misalnya apabila orang bertanya pada saya fesyen apa yang saya pakai ini? Saya akan rasa ya, baju ini lain daripada yang lain!

Sara rasa cantik bila…Bila Sara happy!

Bezanya Sara hari ini dengan 10 tahun yang lalu?

Fuyooo!  Kalau dari segi banyak bercakap itu sama sahaja. Dulu saya tidak pernah mahu duduk diam. Dekat rumah pun mesti bising. Tetapi sekarang saya lebih introvert. Suka buat hal sendiri. Dahulunya sentiasa mahu ‘memekak’.

Kulit saya juga tidak gelap seperti dahulu. Dahulunya saya aktif bersukan. Masa saya dengan kawan-kawan juga tidak lagi banyak seperti dahulu.

Sekarang ini saya tidak boleh membuat apa-apa tindakan sesuka hati saya kerana harus memikirkan persepsi daripada masyarakat juga.

Kebanyakan pengikut saya juga banyak daripada kalangan pelajar sekolah. Bukan itu sahaja dari golongan VIP pun ada juga. Jika di luar, yang sudah bergelar nenek pun ada menegur saya. Saya macam ‘Wow, nenek pun tonton video! Kenapa nenek? Nenek buat apa di rumah, tengok YouTube?’

Memang sekarang saya lebih berhati-hati. Bukan fake, cuma menjaga imej. Takut jika kita tidak senyum, nanti orang akan fikir kita sombong pula. Penat sekalipun tetap senyum sahaja pada semua.

Rutin kecantikan Sara

Saya melakukan rutin penjagaan asas. Saya akan pastikan setiap malam untuk cuba memakai topeng muka. Dahulunya sebelum bergelar isteri saya memang rajin memakainya tetapi apabila sudah makin sibuk saya tidak sempat pula untuk melakukan semua itu.

Saya mementingkan kelembapan kulit kerana hydration is everything. Jika kulit kering banyak masalah akan timbul nanti.

Pesanan buat  gadis yang rasa terlalu rendah diri ataupun insecure

Perasaan itu sebenarnya hanya bermain dalam minda dan otak kita. Padahal orang lain yang melihat kita tidak memikirkan apa-apa pun mengenai diri kita. Jadi, jika tiada keyakinan diri, cubalah untuk membina keyakinan itu. Jangan peduli kata orang asalkan prinsip kita betul, menjaga batas dan kita juga perlu tahu apa yang kita mahukan.

 

Published by
SH