Amira Atiqa Azman penuntut Sarjana Muda Quran dan Sunnah FPQS, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) antara pelajar yang menarik perhatian ramai ketika Ops Pulang USIM ke Zon Selatan bagi menghantar pelajar yang terkandas di kampus pada 27 April lalu.
Istimewanya kepulangan Amira turut ditemani seekor kucing bernama Momo ke rumah keluarganya di Taman Sentosa, Kluang Johor.
Kehadiran Amira dan kucingnya pada malam pelepasan di Dewan Tuanku Canselor USIM pada malam tersebut turut mencuri perhatian Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang turut hadir menyaksikan proses penghantaran.
Katanya, dia telah bernekad untuk terus tinggal di rumah sewanya jika pihak urus setia yang mengendalikan urusan membawa pulang pelajar tidak membenarkan Momo menaiki bas untuk dibawa pulang bersama.
“Alhamdulillah, atas budi bicara urus setia, saya dibenarkan bawa Momo bersama untuk menaiki bas. Saya sudah membelanya lebih lima bulan dan rutin penjagaan kesihatannya memang terjaga seperti pengambilan vaksin mengikut tempoh ditetapkan.
“Saya hanya tinggal seorang diri di rumah sewa sebab rakan yang lain telah pulang sebelum PKP dikuatkuasakan.
“Saya tak sampai hati untuk tinggalkan Momo di rumah kerana memikirkan tiada siapa yang boleh menjaga makan minum, keselamatan dan kesihatannya,” katanya.
Amira Atiqa berkata, perasaan kasih, sayang dan risaunya terhadap Momo bercampur-baur kerana latihan industrinya kini ditangguhkan dan tidak tahu bila dia akan pulang semula ke rumah sewanya di Nilai, Negeri Sembilan selepas dia berada di kampung.
“Apabila urus setia USIM hubungi saya pada Khamis pagi minta bersiap untuk dihantar pulang pada malamnya, masa yang ada untuk kemaskan barang sendiri dan Momo memang singkat. Mujur sempat curi masa untuk keluar membeli pet carrier dan keperluan lain untuk Momo.” ujarnya.
Amira Atiqa yang merupakan penuntut tahun akhir program Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah itu memberitahu, walaupun kali pertama menaiki bas dengan tempoh perjalanan yang agak lama, Momo tidak meragam dan kini masih cuba membiasakan diri dengan suasana baharu di rumah keluarganya di Taman Sentosa, Kluang Johor.
Sementara itu, seramai 87 pelajar USIM telah selamat dihantar pulang secara berfasa ke beberapa destinasi antaranya Pendang, Kubang Pasu, Kota Setar, Kuala Muda, Seberang Perai, Cheras dan Kuching, Sarawak.
USIM memastikan setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa diikuti sepanjang proses sebelum, semasa dan selepas penghantaran kumpulan pelajar ini.
Sumber: MalaysiaGazette dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
DAPATKAN HIJABISTA E-MAGAZINE DENGAN MEMUAT TURUN APLIKASI EMALL DI GOOGLE PLAY DAN APPS STORE.
http://emall.karangkraf.com/Shop/Magazine/HIJABISTA