Rancak mengusahakan perniagaan, Datin Seri Azlina bersama suami mempunyai beberapa rangkaian bisnes seperti minuman, makanan, ais krim yogurt, produk kesihatan serta beberapa perniagaan lain di bawah nama Jennaira Holding.
Terkini, beliau tampil mengeluarkan produk baharu pula iaitu hijab yang sememangnya sinonim dengan kaum wanita di negara ini.
“Tudung Jennaira bersama dutanya, Arviena masih dikira baru dan alhamdulillah setakat ini sambutan yang diterima secara dalam talian cukup positif.
“Kami keluarkan tudung ini secara tiga peringkat menerusi 10 corak dan konsep berbeza. Ia menggunakan fabrik satin, ada bawal dan juga shawl. Harganya mampu milik, RM70 sehelai dan syukur, ia juga turut dipasarkan di Indonesia.
“Setiap keluaran itu terhad. Kena ‘pre-order’, jadi ia lebih eksklusif dan insya-Allah, koleksi baru akan dilancarkan bersempena Hari Raya Haji nanti,” katanya yang turut optimis mengeluarkan telekung, tidak lama lagi.
Percaya rezeki lebih bermakna bila dikongsi, Azlina berterima kasih kepada semua pihak yang sudi bersama-sama menjayakan rumah terbukanya, tahun ini.
Azlina berkata ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Jennaira Holdings Sdn Bhd x Arviena di Hotel Royal Chulan, Petaling Jaya pada Ahad.
“Kita jemput lebih 700 anak tahfiz dan anak yatim untuk sama-sama meraikan hari raya. Malah ketika sambutan hari jadi suami dan buka puasa sebelum ini, kami turut jemput mereka. Sudah jadi satu tradisi bagi kami di Jennaira Holding.
“Malah setiap pembelian tudung ini atau mana-mana produk keluaran kami, mereka secara tak langsung turut menderma dalam menjayakan rumah terbuka ini.
“Majlis yang bermula sekitar jam 2.00 petang dan membawa ke malam dengan tema Bollywood berjalan lancar syukur alhamdulillah,” katanya lagi.
Turut berkongsi kisah penghijrahan hijab pada hari itu adalah dutanya sendiri iaitu pempengaruh media sosial, Arviena.
“Pada mulanya saya hanya membuat review tudung ini dan kebetulan pada bulan Ramadan, hati saya telah dijentik olehNya.
“Umum mengetahui di Instagram saya sangat seksi sebelum ini. Saya boleh berbikini dan orang tahu Arviena siapa.
“Alhamdulillah atas penghijrahan ini dan saya berhijab bukan kerana saya menjadi duta Tudung Jennaira tapi ia boleh dikatakan titik tolak dimana hati saya terbuka untuk berubah ke arah yang lebih baik.
“Saya masih dalam fasa pembelajaran lagi. Ada juga komen di laman sosial yang mengatakan pemakaian saya masih ketat walaupun bertudung.
“Sememangnya ia bukan mudah namun perlahan-lahan saya cuba sedikit demi sedikit. InsyaAllah,” jelasnya lagi.