Terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2007 menjadi suatu saat yang sangat mengerikan buat selebriti terkenal, Catriona Ross.
Berkongsi kisahnya dalam sebuah program, Catriona atau mesra disapa Kak Kek menceritakan pada waktu itu dia sedang menemani rakannya untuk pulang ke kampung.
“Kejadian itu berlaku pada bulan April 2007. Saya ingat lagi waktu itu saya tidur. Sedar-sedar saya sudah tercampak keluar dan berada di atas jalan raya.
“Saya nampak kereta kami jauh dan kecil sangat. Saya hanya dengar kawan saya minta maaf. Apabila saya cuba bangun, saya pandang bawah. Saya nampak kaki saya sudah patah. Saya terus pengsan,” katanya.
Akibat daripada kemalangan tersebut, dia mengalami kecederaan yang teruk termasuklah patah kaki, retak tulang rusuk dan beberapa kecederaan yang lain.
Lebih memilukan, dia juga mendapat khabar sedih apabila dimaklumkan oleh seorang doktor pakar bahawa dia mungkin tidak dapat hamil akibat kecederaan yang dialaminya. Walaupun begitu, dia tidak patah semangat dan percaya kuasa Allah mengatasi segalanya.
“Ada doktor pakar beritahu saya terhempap tulang punggung. Saya tidak dapat hamil kalau berkahwin. Itu merupakan tamparan hebat buat saya. Tapi saya tak boleh benci dan marahkan doktor tersebut.
“Saya kena fight sebab saya percaya Allah maha berkuasa. Saya kena jadi duta pada diri sendiri. Tak apa ini ujian Allah. Jika saya tak kuat, badan pun akan lemah. Saya tak mahu hidup saya berakhir seperti ini pada usia 27 tahun. Saya ubah pemikiran ke arah positif,” luahnya.
Sememangnya jodoh dan ketentuan berada di tangan Tuhan. Dua tahun selepas itu, dia telah bernikah dengan suaminya iaitu Shaharuddin Mokhtaruddin.
Mereka kini bahagia dengan kehadiran tiga cahaya mata iaitu dua lelaki dan seorang perempuan yang menjadi pelengkap keluarga mereka.
kredit: Astro Gempak