Anugerah Meletop Era 2021 (AME21) yang berlangsung semalam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menyaksikan pelbagai gaya fesyen selebriti yang unik, menarik dan menawan.
Antara gaya fesyen yang menjadi bualan ramai dan menarik perhatian netizen ialah busana Datuk Seri Siti Nurhaliza atau lebih mesra dengan panggilan Tok Ti yang direka khas oleh pereka tersohor Rizman Ruzaini. Busananya yang bertukar dalam masa lima saat itu ketika sedang membuat persembahan membuatkan ramai yang teruja dengan transformasi itu.
Menurut Tok Ti dalam perkongsiannya menerusi akaun Instagram, busana itu sudah lama disiapkan namun oleh kerana AME21 ditangguhkan untuk beberapa bulan, akhirnya semalam merupakan hari yang paling dinanti-nantikan untuk disarungkan. Rekaan dari Rizman Ruzaini itu merupakan sebuah rekaan yang dihasilkan khas untuk mengikut gimik yang sudah dirancang awal.
Anugerah Meletop Era pada awalnya dijadualkan beberapa bulan lalu, apabila ditangguhkan, saya masih menyimpan baju rekaan Rizman Ruzaini kerana baju ini dibuat mengikut gimik yang saya mahu persembahkan.
Tambahnya lagi, biarpun AME21 ditukarkan ke tarikh yang baru, Tok Ti masih mahu mengekalkan konsep persembahan yang diinginkannya iaitu bertukar baju selama lima saat untuk persembahan yang berdurasi hampir lima minit itu.
Saya mahu lagu berdurasi hampir lima minit itu ada impak tersendiri dalam masa lima saat dipersembahkan.
Hantaran yang dimuatnaik itu juga turut mendapat perhatian warganet dengan memberi pujian dan teruja dengan persembahan tersebut. Malah barisan artis juga turut memberi komen positif pada hantaran tersebut.
Anugerah Meletop Era 2021 (AME21) yang berlangsung semalam merupakan edisi yang kelapan bersama dengan tema busana Glam Legend menerusi tagline #YangFreshYangLegend.
Sumber gambar: Instagram Datuk Seri Siti Nurhaliza
Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.