“Saya Dan Anak-Anak Pernah Diejek & Diherdik..”- Dikurniakan Anak-Anak Autisme, Zarina Kongsi Cerita & Luah Rasa Syukur!

Share

Pernah diejek, dihina, apatah lagi dikasari, ini antara pengalaman aktres Zarina Zainuddin saat membesarkan kedua kembar autisme Muhammad Razil Azrai (Azil) dan Muhammad Raizal Azrai (Azal).

Menyelusuri perjalanan hidupnya membesarkan dua cahaya mata yang begitu istimewa, Zarina tidak pernah culas menggalas tanggungjawab sebagai ibu malah tidak memandang kekurangan itu sebagai pematah semangat, malah menjadikan ia sebagai sebuah kelebihan untuk mendidik diri menjadi ibu yang lebih sempurna.

Dalam temubual bersamanya, Zarina menyatakan kehadiran kedua-dua anaknya itu menjadikannya seorang wanita yang tabah dan sabar, malah tidak akan pernah lelah menjaga anak-anak autisme ini. 

“Umum tahu, Azal boleh bercakap tetapi Azil sebaliknya. Rutin setiap pagi bagi Azil, adalah membeli surat khabar, jadi boleh atau tidak, saya akan memenuhi permintaannya. Berbeza pula dengan Azal, dialah pembantu saya, selalu ada di set pengambaran, membantu untuk memilih pakaian, aksesori, dan menemani saya ketika sedang berlatih skrip,” ujarnya.

Tambah Zarina, biarpun kadang-kala anak-anaknya akan ada tantrum

dan sukar untuk dikawal, namun, dia sebagai ibu tidak pernah menjadikannya sebagai jarak pemisah dan membezakan kasih sayang untuk anak-anaknya itu.

“Mungkin mereka takut diganggu oleh anak-anak saya..”

Bukan semua orang memahami situasi yang dilaluinya. Dia juga tidak meraih simpati kepada sesiapa, cuma dia ingin anak-anaknya hidup seperti kanak-kanak lain. Melihat kedua-dua puteranya itu gelak tawa dan bermain seperti kanak-kanak lain, cukup memberikan hatinya sebuah ketenangan

Jelas Zarina, biarpun mereka menghidap autisme, tetapi itu bukanlah faktor penghalang untuk mereka tidak dapat hidup seperti kanak-kanak normal.  Biarpun pernah mengalami beberapa keadaan yang memeritkan, namun Zarina anggap ia sebagai tanda sayang Allah SWT kepadanya.

Bukan itu sahaja, malah, ada juga pihak yang mengherdik saya dan anak-anak apabila mereka sudah mula datang tantrum. Saya redha.

“Ada satu situasi yang pernah berlaku apabila saya membawa mereka makan di luar. Tiba-tiba, ada keluarga mahupun individu yang duduk di sebelah meja kami bangun dan menukar tempat duduk mereka, jauh dari kami. Mungkin mereka takut diganggu oleh anak-anak saya. 

Perasaan itu agak perit. Namun, saya tidak boleh tunjukkan kepada mereka, malah saya harus cekal dan tabah untuk menjadi ‘role model’ kepada Azil dan Azal. Bukan itu sahaja, malah, ada juga pihak yang mengherdik saya dan anak-anak apabila mereka sudah mula datang tantrum. Saya redha”. 

“Video-video mereka untuk kita belajar tentang autisme..”

Kajian menunjukkan bahawa autisme adalah empat hingga lima kali lebih biasa di kalangan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan. Nama autisme itu sendiri berasal dari perkataan Greek autos yang membawa maksud ‘sendiri’ dan menurut Bleuler, autisme membawa maksud ‘melarikan diri dari realiti’

.

Rakyat Malaysia harini penulis kira sudah mula memahami tentang penegrtian autisme. Namun, masih ramai juga yang kurang kesedaran tentang anak-anak istimewa autisme ini. Salah satu cara yang dilakukan oleh Zarina adalah dengan memuat naik video anak-anaknya di laman Instagram untuk memberi kesedaran tentang autisme itu sendiri.

Saya percaya dengan memuat turun video- video Azil dan Azal di Instagram secara tidak langsung mengajar rakyat Malaysia untuk lebih terbuka dan peka terhadap kanak-kanak Autisme.

“Saya percaya dengan memuat naik video-video Azil dan Azal di Instagram secara tidak langsung mengajar rakyat Malaysia untuk lebih terbuka dan peka terhadap kanak-kanak Autisme.

Hari ini, ramai yang sudah boleh menerima keadaan Azil dan Azal jika tantrum mereka datang di khalayak ramai. Usaha ini juga adalah harapan saya supaya sekolah-sekolah di Malaysia ini menyediakan kelas khas untuk kanak-kanak autisme kerana kami sebagai ibu-bapa amat memerlukannya.

Bukan itu sahaja, malah ibubapa yang turut dikurniakan anak-anak autisme juga sudah berani berkongsi cerita mereka di laman sosial. Ini yang kita mahukan dimana pendidikan tentang autisme itu sudah mula meluas dan penerimaan masyarakat semakin baik,” komen Zarina.

“Anak adalah harta yang tidak ternilai..”

Biarpun sibuk dengan urusan perniagaan mahupun lakonan, namun Zarina meletakkan kedua-dua puteranya itu sebagai aspek penting dalam diari hidupnya. 

“Anak adalah harta yang tidak ternilai. Jagalah mereka seperti mana yang diamanahkan oleh-Nya. Bagi mereka yang memiliki anak-anak autisme, bersabar dan redhalah dengan ketentuannya. Sesungguhnya, pasti ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Maka bersyukurlah dan teruslah berdoa untuk sebuah kebaikan,” ujarnya menutupi kalam bicara ini.

Sumber gambar: Instagram Zarina Zainuddin

Untuk info gaya hidup, kerohanian, tip kecantikan dan kesihatan terkini. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Hijabista. Klik di sini.

 

Published by
Putra