Sambutan Hari Ibu, Haram Jika Mebudayakan Cara Barat. Wajib Mengingati Setiap Hari Itu Cara Islam.

Share

Sambutan hari ibu,haram jika mebudayakan cara barat. Wajib mengingati setiap hari itu cara islam. Tiga ulama ini Ustaz Azhar Al Idrus, Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Khalid Basalamah berbahas mengenai pendapat sambutan hari ibu.

Sambutan hari ibu adalah tanda pengiktirafan anak terhadap pengorbanan ibu kepada mereka dan sambutan yang dianjurkan bertujuan membahagiakan ibu.
Firman Allah SWT :

  وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَـٰنًا ۚ
“Dan Tuhanmu telah mewajibkan supaya tidak menyembah selain dari-Nya dan berlaku baik kepada ibu bapa.” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Peringatan dan perayaan boleh dilakukan dengan membebas atau meringankan tugas ibu dari kerja harian yang dianggap kononnya merupakan kewajibannya, seperti mendidik, menghantar anak-anak ke sekolah, memasak, mengemas dan urusan rumah tangga lainnya.

Hari Ibu juga boleh menjadi wasilah untuk merapatkan hubungan anak dengan ibu bapa serta mengeratkan hubungan sesama adik-beradik. Sebagai hari istimewa, semua ahli keluarga berkumpul dan dari situ terbitlah ikatan erat dan melahirkan suasana penuh kasih sayang sejati, saling mencintai antara satu sama lain.

Sambutan hari ibu yang memenuhi tuntutan Islam antaranya, sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah SWT dan tidak bersifat membazir. Di samping itu, sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan solat berjemaah bersama ahli keluarga, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana mahabbah.

Oleh itu, penting bagi masyarakat Islam membetulkan niat terlebih dulu dalam meraikan sambutan Hari Ibu ini supaya sambutan dirahmati dan tidak terkeluar daripada landasan syariat Islam yang digariskan Allah SWT untuk hambaNya.

Menyambut Hari Ibu Haram?

Haram

Para ulama berselisih pandangan mengenai persoalan hukum meraikan ‘Hari Ibu’ ini. Sesetengah ulama mengatakan ianya bersifat bid’ah atau berdosa malahan ada yang ‘extreme’ sehingga mengharamkannya. Memang benar ianya bid’ah dan haram sekiranya itikad dan niat untuk meniru dan meraikan budaya-budaya di atas.

Harus

Manakala Profesor Tafsir dan Ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar, Dr Muhammad Bakar Ismail, berpandangan sambutan Hari Ibu adalah harus kerana meraikan serta memuliakan ibu seperti pada Hari Ibu adalah bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat.

Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kemurnian dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini.

Manakala jika adat ini lahir daripada perkara sebaliknya, dan melakukannya juga membabitkan perkara yang buruk dan dilarang Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.
Jika dilihat dari segi keharusan sambutan ini, ia lebih banyak membawa kebaikan. Pertamanya, sesuatu perbuatan itu mestilah disertakan dengan niat yang baik. Walaupun amalan itu pada asasnya harus, namun ia boleh menjadi haram apabila disertai niat yang bertentang syariat.

Budaya Barat

Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi: “Hari Ibu ini timbul kerana pihak orientalis atau doktrin barat memikirkan inilah cara terbaik untuk menarik minat anak remaja barat menghormati orang tua mereka.”

Umumnya kita tahu masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan dan mengkhususkan hari-hari tertentu dapat memupuk remaja mereka menyayangi dan menghormati orang tua mereka.

Di sini, ditakuti orang Islam mengikut budaya barat ini secara buta-tuli dari segi cara sambutan dan adab pergaulan ketika sambutan serta tidak mempedulikan nilai Islam dalam meraikannya.

Persoalan

Kenapa perlu diadakan atau diiktikadkan hanya satu hari untuk hari ibu??? Adakah satu hari itu  saja dia jadi ibu kita? Adilkah kita perlakukan begitu kepada insan yang mengandungkan kita selama 9 bulan 10 hari, kemudian berjerit perih dan bertarung nyawa melahirkan kita, seterusnya berjaga malam menjaga ketika sakit kemudian memenuhi apa saja kehendak kita bagai menatang minyak yang penuh, tiba-tiba kita hanya meraikan kemulian mereka hanya sehari. Hari-hari lain, kita diam membisu, tidak menghubungi dan tidak ada lagi penghargaan buat ibu.
Firman Allah SWT :

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).  (Surah al-Isra’, ayat 23)

Pendapat bebas

Kedudukan ibu sangat mulia di sisi Islam. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh ibu demi membesarkan kita. Sepatutnya disambut hari ibu sekerap mungkin… setiap hari, minggu, setiap bulan dan tahun kerana hari ibu memang sewajibnya setiap hari… Raikanlah dengan setulus ikhlas terhadap insan mulia tersebut…
Dengan termaktubnya ‘Hari Ibu’. Seharusnya dijadikan hari peringatan atau perayaan terhadap peranan seorang ibu dalam keluarganya, baik untuk suami, anak-anak, mahupun sesama manusia.

Ada bagus dan baiknya diadakan sambutan hari ibu ini, sekurang-kurangnya boleh juga menyedarkan ‘Si Tanggang Moden’ yang sibuk dengan sahabat, rakan perniagaan atau tugas seharian dan orang ramai akan lebih mengenang dan menghargai jasa pengorbanan ibu..

Wallahu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

Published by
SH