Lumrah kehidupan, pasti ada naik, turunnya. Begitulah perjalanan hidup kita di muka bumi ini. Namun segala dugaan dan tekanan yang dilalui perlulah dihadapi dengan tenang. Kita perlu bijak mengurus tekanan agar ia tidak menjadi ‘barah’ yang membinasakan secara senyap.
Ada banyak cara untuk menguruskan stres dan tekanan. Antara langkah yang boleh diambil ialah bercerita masalah dengan rakan baik atau ahli keluarga yang dipercayai dan paling rapat, berjumpa pakar kaunselor atau mendapatkan nasihat daripada pihak pakar psikiatri. Jangan biarkan diri terus hanyut dengan perasaan sebaliknya berusahalah untuk merawat tekanan yang dialami.
Sebagai orang Islam, ada cara yang boleh merawat tekanan yang dialami iaitu dengan ‘mendekatkan’ diri pada Allah.
Berikut dikongsikan doa-doa yang boleh diamalkan ketika dilanda tekanan.
Surah ini boleh tenangkan diri, bacalah. Semoga diberi kekuatan untuk menghadapi perjalanan hidup.
1. Tekanan-Surah Ar Raad: 28
2. Rasa berdosa- Surah Az Zumar: 53
3. Putus asa-Surah Yusuf: 87
4. Sedih- Surah Al Israa: 82
Umumnya tahap stres yang dihadapi oleh seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi.
Stres yang sedikit atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.
Walau bagaimanapun, stres yang berlebihan, untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif, dan memudaratkan kesihatan serta meningkatkan risiko terhadap penyakit.
Sebenarnya ada berbagai cara yang boleh kita lakukan dalam mengawal stres. Stres boleh dikawal secara sendiri atau pun melalui bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan.
Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah 10B
Kaedah 10 B ini adalah:
BERTENANG
Setiap kali anda berasa stress atau berasa ketegangan, bawalah bertenang. Dengan bertenang ia boleh membantu mengurangkan kitaran stres negatif pada peringkat permulaan.
BERNAFAS DENGAN DALAM
Lakukan latihan pernafasan yang boleh meningkatkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida dalam sel tubuh bagi mengurangkan ketegangan.
BERKATA ‘RELAKSLAH
Cuba katakan pada diri sendiri, saya ni stres, ‘Relakslah’, Tak mengapa atau Tak pe lah, Oklah tu . Bawalah bersabar. Kata-kata ni sedikit sebanyak dapat menenteramkan perasaan dan mengurangkan stres.
BERIBADAT
Sekiranya anda mengalami tekanan atau stres anda boleh melakukan ibadat seperti berzikir dan sembahyang mengikut kepercayaan masing-masing. Beribadat dapat memberi sokongan emosi dan boleh melegakan perasan seseorang.
BERKONGSI PERASAAAN DENGAN SESEORANG
Bercakaplah dengan ahli keluarga atau kawan-kawan rapat anda yang anda percayai dan dapat memahami perasaan anda . Luahkanlah dan kongsi perasaan anda dengan mereka.
Apabila anda berkongsi perasaan dengan orang lain , anda akan berasa lega dan ini dapat mengurangkan tekanan yang anda hadapi. Anda akan merasai bahawa masih ada orang yang sayang dan ambil berat tentang diri anda.
BERURUT
Apabila anda stres pada kebiasaannya otot-otot di bahagian leher dan bahu akan menjadi tegang. Belajarlah cara urut leher dan bahu kerana urutan ini boleh melegakan tegangan otot dan melancarkan perjalanan darah. Urutan kaki juga boleh dilakukan untuk mengurangkan stres.
BEREHAT DAN MENDENGAR MUZIK
Apabila anda stres berehatlah sambil mendengar alunan muzik yang lembut. Muzik dapat membantu mengurangkan denyutan jantung yang laju dan tubuh badan anda akan mula relak serta pernafasan anda akan kembali normal. Ini membuat anda berasa tenang. Pilihlah muzik yang lembut dan menenangkan.
BERIADAH
Luangkan sedikit masa anda untuk melakukan aktiviti di luar rumah sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan. Lakukanlah aktiviti yang anda sukai. Beriadah dapat menenangkan fikiran dan membuat anda berasa gembira serta menghilangkan stres.
BERSENAM
Bersenam juga boleh membantu mengurangkan ketegangan otot dan stres. Dengan bersenam ia dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin dan anda akan berasa lega dan tegang.
Antara aktiviti senaman yang boleh anda lakukan ialah berjalan dan bersenam robik.
BERFIKIRAN POSITIF
Stres juga boleh berlaku disebabkan prasangka dan salah tafsir kita terhadap sesuatu situasi. Cubalah berfikiran secara positif di mana anda cuba melihat kebaikan atau keadaan positif dalam mana-mana situasi yang bersifat negatif.
Kita perlu berfikiran positif untuk meningkat harga diri sendiri. Pelajarilah cara berfikiran positif kerana ia akan dapat membantu kita menangani stres dengan lebih berkesan.
Dengan melakukan kaedah 10 B, kesan fizikal stres seperti denyutan jantung, perasaan marah, rasa gelisah, gementar, sakit kepala dan sebagainya yang disebabkan oleh tindak balas hormon adrenalin terhadap tubuh dapat dikurangkan.
Stres mesti ditangani secara berterusan bagi memastikan kita sihat dari segi fizikal, emosi dan minda
Walau bagaimanapun, kaedah 10 B hanya boleh mengawal stres untuk jangka masa pendek.
Punca stres perlu dikenal pasti dan tindakan susulan perlu diambil untuk mencari jalan penyelesaian kepada punca stres tersebut. Anda juga boleh mengamalkan kemahiran daya tindak yang bersesuaian untuk menangani stres anda.
Sumber kredit: Nana Ismail dan Kementerian Kesihatan Malaysia