Risiko Kahwin Dengan Warga Asing, Ada Perkara Yang Kena Ambil Tahu

Share

Bercinta memang indah namun ada perkara yang perlu diberikan perhatian apatahlagi jika bercinta dengan warga asing. Jangan hanya terbuai dengan mimpi indah sehingga akhirnya memakan diri.

Jodoh ini aturan Allah. Tiada siapa yang tahu. Pada kebiasaan yang berlaku, perkahwinan sesama bangsa. Macam orang Melayu kahwin dengan orang Melayu. Ada juga perkahwinan campur lain-lain keturunan. Melayu dengan cina, Melayu dengan India, India dengan Cina dan macam-macam lagi. Tetapi, ini masih dalam lingkungan warganegara.

Ada pula yang jodohnya merentasi sempadan. Sama ada suami atau isterinya bukan warganegara Malaysia. Perkahwinan campur dengan warganegara lain ni ada beberapa perkara yang mungkin menjadi isu kalau gagal tahu dan faham tentang risikonya.

Perkahwinan tak sah

Ada perkahwinan yang dilakukan secara tradisi. Ada juga perkahwinan yang dilakukan secara sendiri ikut syarak tapi tak ikut proses undang-undang yang betul. Akibatnya, perkahwinan tersebut tidak didaftarkan di Malaysia dan mungkin juga perkahwinan tersebut tidak sah disisi syarak.

Kalau yang berkahwin itu lelaki Malaysia dengan wanita warga asing, mungkin tak banyak isu. Cuma yang selalu terjadi adalah poligami tanpa kebenaran mahkamah. Suami ni kahwin senyap-senyap yang kedua di luar negara, kemudian tidak buat apa-apa pendaftaran di Malaysia.

Hak isteri

Mungkin tak semua pasangan macam tu. Cuma, ada juga yang berlaku adalah suaminya tidak sediakan nafkah untuk dirinya di Malaysia. Suami pulak jauh di luar negara. Ini selalu berlaku bagi pasangannya yang tidak menetap di dalam negara bersama.

Apa yang menjadi kesukaran adalah, jika si isteri nak tuntut haknya di Mahkamah. Saman tuntutan yang dibuat untuk tuntut hak tersebut akan menjadi sukar untuk diserahkan. Bahkan, jika mendapat perintah nafkah sekalipun misalnya, akan ada masalah untuk dibuat penguatkuasaan kalau suami tidak menetap di Malaysia.

Hak Jagaan Anak

Ada yang rumahtangganya tak lama seperti diharapkan. Tapi, yang lebih teruk jika mereka ada anak hasil perkahwinan bersama. Masalah hak jagaan anak pasti timbul dan lebih sukar untuk diselesaikan. Apa yang sering berlaku adalah, pihak isteri warga Malaysia yang berpisah dengan suaminya, menjadi dilema sebab si bapa nak bawa anak tersebut pulang ke negara asalnya.

Ada yang lebih teruk, bila anak dipisah keluar negara dan kemudian tidak pernah dengar khabar berita. Jika hendak buat tuntutan jagaan anak di Mahkamah pun tidak akan dapat penyelesaiannya sebab lokasi anak tidak diketahui.

Penyelesaian harta

Bila berpisah, salah satu perkara yang mungkin timbul adalah berkaitan harta sepencarian. Isu ini mungkin sesetengah pihak tidak berlaku. Tambah-tambah kalau tidak ada harta. Tapi, yang selalu jadi isu, ada harta bersama yang dibeli dan melibatkan harta diluar negara.

Masalah besar akan berlaku kalau nak tuntut harta yang berada diluar negara. Untuk dapatkan perintah harta sepencarian, mungkin tak menjadi masalah. Cuma, masalah untuk penguatkuasaan kalau suami enggan beri kerjasama.

Sebenarnya mungkin banyak lagi, tapi biasanya yang terjadi di mahkamah adalah isu-isu ini. Tak salah kalau nak berkahwin dengan orang luar asalkan tahu apa risiko yang mungkin berlaku. Yang penting sentiasa bersedia menerima risiko dan tahu uruskannya.

Siapa rasa ada pernah dengar isu lain atau mungkin kenalan dia ada masalah yang macam ni? Saya nak dengar kalau ada, boleh? Hujan Emas di Negeri Orang

Sumber kredit: Fahmi Ramli

Published by
Norhasliza