Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Begitu juga darah seni yang mengalir dalam diri anak perempuan kesayangan pelakon Ali Setan, Allahyarham Azmil Mustapha, Alya Iman. Pemilik nama yang sangat cantik ini bukan sahaja diaanugerahkan seraut wajah yang jelita tetapi juga bakat lakonan yang sangat bagus.
Memulakan kerjaya dalam bidang seni sebagai model untuk majalah dan juga untuk ruang digital bagi label jenama hijab/pakaian popular sebelum melangkah kaki sebagai seorang pelakon.
Dia kini muncul sebagai pelakon untuk watak Syakifa dalam drama Senafas Rindu di saluran Astro Ria HD lakonan bersama beberapa selebriti popular dan hebat seperti Liza Abdullah, Syafiq Kyle, Elizaberth Tan, Azizah Mahzan dan Wan Sharmila memberikan bakat yang juga sehebat arwah bapanya.
Selepas kehilangan arwah Babah yang sangat disayanginya, Alya meneruskan kehidupannya seperti biasa. Masih lagi menerima tawaran sebagai model dan juga membuat kerja berkaitan dalam bidang seni.
Bercerita bagaimana boleh terjun ke dunia lakonan, Alya memberitahu dia menerima panggilan secara mengejut dari pihak Astro.
“Pada mulanya memang was-was nk ambik tawaran berkenaan, tetapi apabila fikir balik mungkin ini rezeki Alya, takkan nak tolak begitu sahaja. Jadi Alya tetap terima tawaran berkenaan walaupun ketika shooting
berkenaan tengah ambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.“Alhamdulillah drama lakonan pertama Alya Senafas Rindu tengah trending No 1. Insya-Allah bulan depan Alya akan masuk set baru, tetapi buat masa ini banyak ambil job photoshoot sahaja,” ungkap Alya ketika dihubungi memberitahu perkembangan terkininya.
Biarpun sibuk dengan pelbagai urusan kerja, namun bagi Alya ia sedikitpun tidak melupakan rasa rindu pada arwah ayahnya.
“Kerinduan pada arwah Babah memang tak penah akan hilang. Cuma Alya banyak sibukkan diri untuk elakkan emosi itu menguasai diri.
“Alya memang jenis tak boleh kalau tak kerja dan hanya duduk diam di rumah. Oleh sebab itu Alya sanggup sibukkan diri dengan pelbagai aktiviti harian.
“Alya harap yang semua penonton happy dengan lakonan Alya ini. Dan Alya juga berharap akan dapat tawaran lain di masa akan datang.
“Memang tekad Alya untuk meneruskan perjuagan dalam industri ini dan insya-Allah akan berusaha menjadi pelakon yang lebih baik,” ujarnya yang turut menjadikan arwah Babah sebagai idola dalam dunia lakonan.
Dalam salah satu posting di laman Instagramnya Alya juga ada memberitahu sudah setahun pemergian Babahnya itu (pada 14/2) dan dia masih mengingat setiap momen terakhir mereka berdua.
Sewaktu mahu mengejutkan Babahnya itu dari tidur, rupanya arwah sudah pergi meninggalkan dia buat selama-lamanya.
Pemergian Babahnya itu Alya anggap sebagai kehilangan terbesar dalam hidupnya selama ini. Walaupun kini tanpa kehadiran Babah di sisi tetapi dia tahu Babahnya akan sentiasa ‘melihat’ dirinya dan berharap akan dapat banggakan arwah satu hari nanti.
Dia akan sentiasa merindui Babah kesayangannya itu dan berdoa semoga dapat bertemu nanti di syurga Firdausi.
Pembabitan Alya yang cantik berhijab sebagai seorang pelakon ini turut mendapat pujian netizen. Masing-masing memuji lakonannya yang sangat natural dan mengesankan.
anis_1517 I like your acting
mizzarazak All the best iman!
izztulhan So natural. Loveee.
Sebenarnya sebelum ini Alya juga pernah beberapa kali menjadi model untuk Hijabista. Masih ingat setiap kali ada sesi fotografi, Alya akan datang ditemani arwah bapanya.
Hijabista doakan semoga kerjaya Alya akan terus bersinar kerana dia mempunyai bakat besar dalam dunia seni seperti bapanya.
KREDIT FOTO: INSTAGRAM ALYA IMAN