Inspirasi

“Rezeki Allah Punya, Dia Boleh Beri & Tarik Bila-Bila Masa..” –  Cik Manggis Nasihatkan Hijabi Usah Dabik Dada! Kita Hanya ‘Hamba’

Share

Wajah manis Nurshazwani Shamsuddin, atau Cik Manggis sentiasa menyenangkan mata yang memandang.

Sesuai dengan gelaran ‘Ratu Transition’, penyanyi dan pelakon yang mengumpul lebih 800K pengikut ini kerap berkongsi pelbagai video kreatif melalui aplikasi Instagram serta TikTok miliknya.

Namun di sebalik wajah riang dan bibirnya yang tak lekang-lekang dengan senyuman, anggota kumpulan De Fam itu sebenarnya jarang mengungkap isi hatinya kepada peminat. Tambah-tambah pula isu zuriat hasil perkongsian hidupnya dengan suami tercinta.

Tak Semua Perkara Kita ‘Plan’ Menjadi – Cik Manggis

Perkahwinan yang dibina dengan Syazmin Firdaus Aminuddin pada Oktober 2014, sehingga kini masih belum dikurniakan cahaya mata. Satu dekad melayari bahtera cinta bersama, Cik Manggis yang kini berusia 35 tahun mengambil pendekatan redha dengan takdir mereka berdua.

“Tak semua perkara yg kita plan, menjadi. Tapi tak bermakna tak jadi hari ni, tak jadi selamanya. Dan yang ‘menjadi’ hari ni juga tak bermakna ia menjadi selamanya.

“Rezeki Allah punya. Allah boleh beri dan tarik bila-bila masa. Tiada sebab untuk kita mendabik dada, kerana kita hanyalah seorang hamba yang tidak punya apa-apa.” ujar Cik Manggis

Tak Perlu ‘Tuding Jari’, Apatah Lagi Menyalahkan Sesiapa

Memetik luahan Cik Manggis kepada Gempak, jelasnya dia tidak ingin menyalahkan sesiapa termasuk pasangan dalam soal tersebut. Suka sangat dengan sikap positif Cik Manggis dan kematangan wanita ini kala diajukan soalan ‘sensitif’.

“Tiada zuriat salah siapa? Bukan salah siapa-siapa. Jangan tuding jari pada pasangan sebaliknya tawakal dan usaha sama-sama.

“Jika masih belum dikurniakan rezeki anak, tetap syukur. Allah nak bagi kita dating lama-lama lagi la tu. Tu pun rezeki tu! Semoga kita semua diberikan kesihatan yang baik dan bahagia dunia akhirat,” ujar ahli kumpulan De Fam itu.

HIJABISTA mendoakan agar suatu hari nanti, Cik Manggis dikurniakan rezeki bergelar ibu dan semoga kehadiran malaikat kecil berkenaan membawa kebahagian dan menyerikan lagi mahligai cinta sedekad yang di bina oleh Cik Manggis dan suami.

Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari NONA.

Sumber Foto & Video: IG @CikManggis

Published by
Haifa Nasir